Muntah cacing yang dialami seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun telah menggemparkan pasukan perubatan di sebuah hospital, apabila tubuh kecilnya mengeluarkan cacing gelang melalui mulut dan hidung.
Kejadian mengejutkan ini kemudian tular selepas pihak hospital mengesahkan keadaan kanak-kanak tersebut.
BUDAK MUNTAH CACING KELUAR DARI HIDUNG & MULUT

Gambar oleh Firmansyah (Kompas.com)
Menurut laporan berita, cacing berukuran sebesar lidi penyapu dilihat keluar dari hidung dan mulut kanak-kanak itu.
Situasi berbahaya ini membuatkan mangsa segera dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut serta pemantauan intensif daripada doktor pakar.
Pengarah Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Bengkulu, Eva Debora Siahaan memaklumkan hasil pemeriksaan X-ray mendapati masih terdapat gumpalan cacing di dalam perut mangsa.
Disebabkan jumlahnya yang banyak, doktor mengesahkan ia tidak dapat dikeluarkan secara normal dan pembedahan menjadi satu-satunya jalan untuk menyelamatkan pesakit.
“Mangsa dirawat secara intensif di RSUD Bengkulu. Menurut doktor pakar kanak-kanak, mangsa perlu menjalani pembedahan kerana gumpalan cacing di dalam perut tidak dapat dikeluarkan secara normal,” katanya ketika dihubungi media tempatan.
Tambahnya lagi, keadaan mangsa semakin membimbangkan kerana dia mengalami demam panas, batuk berkahak, sesak nafas serta sering gelisah selepas insiden cacing keluar dari tubuhnya.
Atas faktor itu, pihak hospital mengambil keputusan merujuk kes berkenaan ke hospital lain bagi tindakan lanjut.
“Oleh kerana mangsa perlu menjalani pembedahan, pihak hospital telah merujuk kes ini ke dua hospital. Melalui Sistem Rujukan Terintegrasi, pihak Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) M. Yunus memberi maklum balas dan mangsa telah dirujuk ke sana,” jelas Eva.
Baca juga: Jangan Ingat Tak Penting, Anak Berdepan Risiko Terbantut Jika ‘Skip’ Ubat Cacing Setiap 6 Bulan!
Bukan sahaja si adik, kakaknya yang berusia empat tahun turut didapati mengalami jangkitan cacing dalam perut.
Kompas melaporkan kanak-kanak itu kemudian dipindahkan ke Rumah Sakit (RU) Ummi untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan cacing yang sama.
Eva turut menjelaskan, keluarga kanak-kanak tersebut tidak menyedari tahap serius jangkitan yang dialami kedua-dua beradik itu. Faktor kebersihan dikenal pasti sebagai punca utama penularan masalah ini.
“Telur cacing boleh melekat pada tangan sebelum masuk ke dalam mulut. Ia kemudian membiak di dalam perut sehingga jumlahnya menjadi banyak. Kukunya juga kotor dan dipenuhi tanah,” katanya lagi, sambil menegaskan tabiat bermain di tanah tanpa kasut serta tidak mencuci tangan sebelum makan menjadi penyebab utama jangkitan.
Insiden ini dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Petai, Kecamatan Talo Kecil, Kabupaten Seluma, Bengkulu, Indonesia pada Ahad lalu.
Baca juga: Betul Ke Anak Gigi Jarang Sebab Ibu Suka Sikat Rambut Masa Bayi? Ini Jawapan Doktor!
Sumber: Kompas
FT Image: Firmansyah (Kompas.com) / Alomedika
