Baru-baru ini, kisah seorang pelajar STPM yang cemerlang keputusannya, menjadi tular di media sosial selepas mendakwa dirinya tidak berjaya mendapat tempat dalam program perakaunan di Universiti Malaya (UM).
Perkara itu mencuri perhatian ramai kerana meskipun pelajar terbabit memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) penuh 4.00, dia tetap gagal menempatkan diri di universiti awam berprestij berkenaan. Terbaharu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan kenyataan pelajar STPM terbabit yang mendakwa tidak mendapat tempat dalam program berkenaan di UM.
Baca juga: Dapat Masuk IPTA Atau Tidak? Semakan Keputusan UPU Lepasan STPM Dibuka Mulai Jumaat Ini!
TULAR PELAJAR STPM DAKWA TAK DAPAT MASUK UNIVERSITI MALAYA, INI PENJELASAN KPT

Pelajar berkenaan bernama Edward, memperoleh keputusan PNGK 4.00 penuh, markah kokurikulum 9.9/10, sekali gus menjadikan merit keseluruhan dia mencecah 99.90%. Namun, permohonannya ditolak oleh enam universiti penyelidikan termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi program Sarjana Muda Perakaunan.
Kekecewaan itu membawa Edward membuat aduan kepada parti MCA, sekali gus mencetuskan persoalan orang ramai tentang keadilan sistem pemilihan pelajar.
Data menunjukkan permohonan Edward memang berdepan persaingan yang amat ketat. Sebagai contoh, di UM, terdapat 2,291 permohonan layak, dengan 1,127 calon memperoleh merit 100%. Edward berada di kedudukan 1,129, sedangkan UM hanya menyediakan 85 tempat.
Situasi hampir sama berlaku di universiti lain:
- UPM: 4,154 permohonan, 1,718 merit penuh, 100 tempat ditawarkan. Edward di ranking 1,724.
- UUM: 2,595 permohonan, 1,282 merit penuh, 350 tempat ditawarkan. Edward di ranking 1,288.
- UTM: 2,292 permohonan, 1,060 merit penuh, 55 tempat ditawarkan. Edward di ranking 1,062.
Melihat angka ini, jelas bahawa walaupun pelajar memiliki merit tinggi, ruang untuk diterima ke dalam program perakaunan adalah terlalu terhad berbanding jumlah calon cemerlang.
KPT TEGAS, PEMILIHAN BERDASARKAN SISTEM

Foto: KPT
Isu ini turut mendapat perhatian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) apabila Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman menegaskan bahawa pemilihan pelajar ke universiti awam adalah berasaskan sistem meritokrasi tanpa sebarang campur tangan luar.
“KPT ingin tegaskan bahawa semua keputusan UPUOnline dijana oleh sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus atau program yang dimohon sekaligus menolak dakwaan wujudnya kelompongan dalam sistem sedia ada.
“Pada masa sama, KPT terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan penambahbaikan pada sistem sedia ada,” tambah beliau.
Menurut kenyataan rasmi, Edward sebenarnya telah berjaya mendapat tawaran bagi program Sarjana Muda Pengurusan dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan terkemuka yang merupakan pilihan kelima diri sendiri.
Walaupun begitu, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menyatakan kesediaan mereka untuk menerima pandangan masyarakat bagi menambah baik sistem sedia ada agar lebih telus dan adil pada masa akan datang.
Kes Edward ini sekali lagi membuka perdebatan tentang kapasiti universiti awam, tahap persaingan pelajar cemerlang, serta persoalan sejauh mana sistem merit dapat menampung jumlah pemohon berprestasi tinggi yang semakin ramai setiap tahun.
*Ingatlah bahawa anak-anak zaman sekarang makin ramai yang bijak dan anda perlu terus berdaya saing. Kalau kita rasa diri sudah cemerlang, ada lebih 10 orang yang akan cemerlang juga.
Baca juga: Patutlah ‘Tak Laku’ Diambil Bekerja, Rupanya 38 Program Akademik Universiti Ini Dah Tak Relevan
