Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sebelum ini berjuang melawan kanser hidung kini berdepan ujian baharu apabila menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama, Februari lalu. Akibat kejadian itu, murid dibuli ini telah disahkan mengalami gegaran otak!
Ibunya, Siti Suhana Misdi, 39 tahun, meluahkan kekecewaan kerana pelaku yang berusia 12 tahun difahamkan tidak dikenakan tindakan sewajarnya atas alasan masih di bawah umur.
DAH ALAMI KANSER HIDUNG, KINI MURID DIBULI ALAMI GEGARAN OTAK KERANA DIPUKUL

Foto: Harian Metro
Dalam insiden sekitar jam 5 petang, 21 Februari lalu, mangsa didakwa dipukul, ditendang, dihentak kepala, malah dipaksa menanggalkan pakaian oleh seorang murid Darjah Enam. Serangan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pelaku terhadap kakak mangsa yang menolak lamaran cintanya.
“Anak saya dirawat di sebuah hospital swasta dari 12 hingga 26 Mac lalu dan doktor mengesahkan dia mengalami gegaran otak. Saya hanya mengetahui kejadian sebenar pada 24 Mac selepas anak perempuan saya menceritakan hal tersebut kerana risau dengan keadaan adiknya,” katanya.
Menurut Siti Suhana, laporan polis dibuat di Balai Polis Taman Universiti pada hari yang sama anaknya dibenarkan keluar hospital. Namun, beliau kesal apabila dimaklumkan kes berkenaan tidak dibuka untuk siasatan dan hanya diselesaikan melalui pertemuan antara keluarga mangsa serta pelaku.
JADI SASARAN BULI KEDUA!

Foto hiasan AI.
“Sehingga kini saya masih tidak berpuas hati. Anak saya berdepan kesan serius seperti sukar menumpukan perhatian dalam pelajaran dan tidak lagi aktif bersukan. Doktor juga memaklumkan tempoh penyembuhan boleh mengambil masa hingga tiga tahun, memerlukan ubat berterusan dan berisiko sawan sekiranya jatuh atau pengsan,” ujarnya.
Lebih memilukan, penderitaan anaknya tidak terhenti di situ. Pada 7 Ogos lalu, mangsa sekali lagi menjadi mangsa buli, kali ini di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai sekitar jam 10 pagi.
“Saya tidak tahu mengapa anak saya sering menjadi sasaran. Mungkin kerana keadaannya yang lemah akibat penyakit, menyebabkan dia mudah diperlakukan begitu. Anak saya menghidap kanser hidung sejak dua tahun lalu, namun alhamdulillah kini pulih sekitar 80 peratus selepas rawatan, hanya tinggal simptom sederhana,” jelasnya sambil memaklumkan laporan polis kedua turut dibuat baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sedang meneliti aduan tersebut.
“Semalam, murid berkenaan dan keluarganya telah dikunjungi untuk tindakan lanjut,” katanya ringkas.
*Diharapkan kes ini tidak terhenti di sini sahaja dan ada siasatan susulan. Hentikan buli!
Baca juga: “Siti Gemuk, Siti Hitam!”- Murid Tahun 1 Dibuli & Dapat Lukisan Tak Senonoh, Tak Mahu Pergi Sekolah!
Sumber: Harian Metro
