#JusticeforZara kini menjadi laungan solidariti bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia, susulan tragedi menimpa pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dari Sipitang, Sabah.
Kisah pilu ini mencuri perhatian masyarakat antarabangsa termasuk di Brunei, Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, China, Jepun, Kemboja, Myanmar, Laos, malah sejauh United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
GELOMBANG #JUSTICEFORZARA TERSEBAR KE SELURUH DUNIA

Pengguna media sosial di pelbagai negara menggunakan tanda pagar tersebut sebagai simbol kebersamaan dalam menuntut keadilan buat arwah.
Solat hajat dan bacaan Yasin turut diadakan di beberapa lokasi, selaras dengan seruan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini.
Kisah pemergian Zara Qairina yang tragis turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa, termasuk di luar negara, terhadap keselamatan anak-anak di sekolah berasrama penuh. Ramai menyuarakan rasa bimbang akan risiko kejadian buli selepas mendengar kes ini.
Kerajaan Malaysia kini berdepan desakan agar siasatan dijalankan secara telus dan segera, memandangkan liputan kes ini telah mencetuskan perhatian global.
Baca juga: Kronologi Terperinci Penggalian Semula Kubur Arwah Zara Qairina Selama 3 Hari Ini!
Dalam perkembangan terkini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan semua masjid dan surau di bawah pentadbirannya akan mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat pada Khamis, 14 Ogos, sebagai tanda solidariti dan doa buat arwah.


Terdahulu, media melaporkan Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah agama berasrama penuh pada 16 Julai lalu. Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Pemergiannya mengundang persoalan susulan dakwaan wujudnya insiden buli melibatkan pelajar senior, sekali gus menguatkan tuntutan orang ramai agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan memastikan kejadian sebegini tidak berulang.
Baca juga: 3 Lagi Rakaman Suara Tular Antara Arwah Zara & Ibunya, Disahkan Oleh Peguam!
Sumber: Sinar Harian / Mohd Fadli Salleh
