Satu lagi kejadian disyaki buli di Kuala Terengganu apabila hati seorang ibu tersentak melihat anak yang merupakan murid Tahun Dua pulang dari sekolah dalam keadaan wajah lebam dan hidung berlumuran darah.
Itulah detik perit yang dilalui Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37 tahun, apabila anak lelakinya yang baru berusia lapan tahun itu pulang pada 30 Julai lalu dengan wajah penuh kesan dipukul, mendakwa menjadi mangsa sekumpulan murid sekolah!
MURID TAHUN DUA PATAH TULANG HIDUNG DISERANG RAKAN DI SEKOLAH

Foto: Sinar Harian
Lebih mengejutkan, kejadian yang berlaku sejurus tamat Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu menyebabkan tulang hidungnya patah dan tulang mata retak. Mangsa terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Menurut Rifka Amelia, anaknya menceritakan bagaimana dia dikepung oleh beberapa murid, kedua-dua tangannya dipegang, sebelum ditolak, ditendang dan ditumbuk bertubi-tubi. Akibatnya, dia terjatuh dan mukanya terhantuk kuat ke tanah.
“Saya panik bila nampak hidungnya berdarah dan muka lebam. Terus saya bawa ke klinik. X-ray mengesahkan tulang hidungnya patah,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSNZ.
INI BUKAN KEJADIAN PERTAMA!

Foto Sinar Harian: Ibu mangsa sudah kemukan laporan polis.
Lebih mengejutkan, Rifka Amelia mendedahkan ini bukan kali pertama anaknya cedera akibat perbuatan murid lain.
“Bulan Jun lalu, matanya pernah cedera akibat dibaling batu. Masa itu saya diamkan saja, tapi kali ini saya nekad ambil tindakan. Saya tak mahu anak orang lain alami nasib yang sama,” tegasnya.
Difahamkan pihak sekolah telah memanggil ibu bapa murid terlibat untuk perbincangan. Ada yang memohon maaf secara bersemuka atau melalui mesej, namun masih ada murid yang belum dikenakan tindakan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan dan memaklumkan siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada ejek-mengejek. Kes kini dirujuk kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Kejadian ini menjadi peringatan keras bahawa buli bukan sekadar gurauan, sebaliknya mampu mencederakan secara fizikal dan meninggalkan trauma jangka panjang kepada kanak-kanak. Ibu bapa, tolong awasi anak bermula sekarang kerana perkara sebegini amat memalukan!
Sumber: Berita Harian
