Masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tidak tahu bahawa dalam Islam, haram hukumnya bagi seorang suami menyetubuhi isteri melalui lubang dubur, walaupun mereka telah sah bergelar pasangan suami isteri.
Perkara ini bukanlah isu remeh atau sekadar ‘selera peribadi’ semata-mata. Ia adalah isu hukum yang melibatkan batasan halal dan haram dalam hubungan suami isteri, serta kesihatan fizikal dan mental pasangan!
SUAMI SUKA BERSETUBUH LUBANG DUBUR (ANAL SEKS), ISTERI BERHAK MOHON FASAKH

Foto: freepik
Menurut pandangan majoriti ulama termasuk Mazhab Syafie, perbuatan suami menyetubuhi isteri melalui dubur adalah haram secara jelas, walaupun dilakukan dengan kerelaan kedua-dua pihak. Perbuatan ini digolongkan sebagai dosa besar.
Rasulullah SAW bersabda:
“Terkutuklah orang yang mendatangi isteri mereka melalui dubur.” – (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Ini menunjukkan bahawa walaupun tubuh isteri adalah halal buat suami, ia tetap terikat kepada batas-batas syarak yang tidak boleh dilanggar sesuka hati. Islam bukan agama yang membenarkan nafsu bermaharajalela tanpa batasan.
“Suami Berhak ke Atas Isteri” – Frasa Yang Sering Disalahguna

Foto: freepik
Peguam turut menjelaskan bahawa ada juga kes yang lebih membimbangkan iaitu apabila suami memaksa isteri melakukan hubungan dubur dengan alasan dia “berhak ke atas seluruh tubuh isteri”. Lebih mengejutkan, ada suami yang menyokong kehendak ini dengan dalil agama, dan mengugut isteri dengan tuduhan nusyuz jika enggan.
Ini bukan sahaja satu bentuk penyelewengan agama, bahkan merupakan penindasan seksual dalam rumah tangga yang harus dihentikan. Ketaatan seorang isteri tidak pernah bermaksud membiarkan diri diperlakukan secara haram atau menjadikan dirinya alat memuaskan nafsu songsang suami.
Wanita perlu tahu, anda berhak menolak, walaupun ia datang daripada suami sendiri. Jika sesuatu kehendak itu melanggar hukum Allah, maka isteri bukan sahaja boleh menolak, tetapi wajib menolak demi menjaga maruah dan agama.
Dalam kes yang lebih berat, contohnya apabila suami memaksa, mengugut, atau menjadikan hubungan intim suatu bentuk penderaan, isteri berhak menuntut keadilan melalui saluran undang-undang syarie.
Antara tindakan undang-undang yang boleh dituntut sebagai hak wanita dalam Islam di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam:
1. Seksyen 53(1)(h)(iii) – Isteri berhak memohon fasakh jika suami menganiaya isteri dengan memaksa hidup secara lucah atau menjadikan hubungan intim satu bentuk penderaan.
2. Seksyen 53(1)(l) – Jika wujud alasan lain yang diiktiraf oleh Syarak, isteri juga boleh mohon fasakh.
3. Seksyen 47 & 48 – Jika fasakh sukar dibuktikan, isteri boleh memohon perceraian atas alasan syiqaq (perbalahan berterusan yang memudaratkan).
Yang penting, wanita perlu tahu bahawa undang-undang syarie membela mangsa, bukan menyalahkan mereka. Perkahwinan tidak bermaksud menyerahkan segala hak diri tanpa batasan terutama apabila ia melibatkan kehendak haram.
Jika anda berada dalam situasi ini atau mengenali sesiapa yang menjadi mangsa, langkah pertama adalah mendapatkan bantuan. Bincang dengan kaunselor, imam, peguam syarie, atau badan berkaitan yang boleh memberi panduan. Jangan berdiam diri atau berasa bersalah apabila anda mempertahankan maruah diri anda.
*Perkahwinan ialah satu ikatan suci, bukan lesen untuk menindas. Nafsu tidak boleh dijadikan raja, lebih-lebih lagi jika agama hanya dijadikan alat untuk menghalalkan kezaliman.
Baca juga: Dah Bosan Panggil Suami ‘Sayang’? Ini Nama Panggilan Manja Dalam 10 Bahasa Bikin Hati Cair!
Sumber: Fahmi Ramli (Peguam Syarie)
