Kes kematian Zara Qairina berterusan menjadi tumpuan umum selepas Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail memaklumkan akan menyerahkan kertas siasatan lengkap kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini.
Namun, dalam satu kenyataan tegas oleh pasukan peguam keluarga mangsa, Ismail Hamid dan Shahlan Jufri, mereka mendakwa siasatan itu tidak lengkap.
PERKEMBANGAN KES KEMATIAN ZARA QAIRINA

Gambar hiasan: AI
Antara perkara yang dibangkitkan ialah tidak menjalankan bedah siasat terhadap tubuh Allahyarham Zara Qairina.
Malah, tidak mengambil barangan peribadi mangsa dan tidak menghubungi ibu arwah, Noraidah Lamat, untuk mendapatkannya bagi membantu siasatan.
“Kami berpendapat bahawa kertas siasatan yang dikemukakan polis kepada AGC adalah tidak lengkap, tidak teliti dan mempunyai fokus yang sangat kecil,” ujar peguam keluarga.
Rakaman suara menyayat hati didedahkan
Lebih menyayat hati, satu rakaman suara berdurasi 44 saat yang memaparkan perbualan antara Zara dan ibunya telah tular di media sosial.
Dalam rakaman tersebut, Zara meluahkan rasa takut terhadap seorang pelajar senior dikenali sebagai ‘Kak M’ yang didakwa pernah mengugutnya.
“Mak, Zara takut terjumpa Kak M, dia masih lagi…Haritu Zara minta tolong ada orang ni kan, cuba ko tanyakan dekat adiknya, cuba kau tanyakan dekat si Kak M masih lagikah dia ada masalah dengan aku. Lepas itu, Kak M tu bilang, ‘iya aku masih lagi nda maafkan si Zara’, mak…,” luah Zara.
Dalam perbualan itu, ibunya turut bertanya sama ada Zara sudah memadam namanya yang dipercayai ditulis di ruangan dalam bilik Rekabentuk dan Teknologi (RBT), namun menurut Zara, nama tersebut telah ditulis semula oleh seseorang.
“Mak, Zara sudah padam… lepas tu dibuatnya balik,” katanya dalam nada resah,” katanya bernada resah.
Zara turut berkata:
“Kalau dia buat juga, macamana? Haritu dia pernah bilang, ‘kalau aku touch kau ni, berdarah-darah kau ni.’ Kalau dia buat mak, apa jadi?”
Rakaman yang tular itu kemudiannya disahkan Ismail bahawa ia milik dua beranak berkenaan.
Ibu buat laporan polis baru terdapat lebam pada jenazah
Dalam perkembangan mengejutkan, ibu mangsa, tampil membuat laporan polis baharu selepas teringat kembali melihat kesan lebam di bahagian belakang badan anaknya ketika memandikan jenazah pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Menurut peguam, ibu mangsa tidak menyatakan hal tersebut dalam laporan terdahulu kerana terlalu trauma dan sedih, namun selepas disoal semula, beliau yakin lebam itu disebabkan oleh objek tumpul.
“Anak guam kami percaya kesan lebam yang dilihatnya itu adalah kesan kecederaan yang diakibatkan oleh pukulan menggunakan objek tumpul ke bahagian belakang Zara,” kata kenyataan peguam.
Berikutan maklumat baharu itu, peguam mencadangkan agar kubur Zara digali semula dan satu bedah siasat dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian serta menentukan sama ada wujud unsur jenayah.
Mereka turut menekankan bahawa perkembangan baharu termasuk laporan lebam dan rakaman suara itu wajar mencetuskan pembukaan semula siasatan oleh pihak polis, meskipun Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menyatakan siasatan telah selesai.
[DIKEMAS KINI]
Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti laporan penuh siasatan awal yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Di mana, laporan berkenaan diterima masing-masing pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
“Proses penelitian itu merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang serta memenuhi prinsip keadilan,” menurut kenyataan AGC pada petang Isnin.
Sebarang keputusan berkaitan kes berkenaan akan diumumkan setelah proses penelitian laporan siasatan awal selesai.
“Jabatan itu menghargai kerjasama semua pihak dan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat sebarang penyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan,” menurut kenyataan itu.
Baca juga: Ini Senarai Sekolah Pemulihan Akhlak Di Malaysia, Tak Semua Yang Masuk Juvana Terus Ke Penjara
Sumber: Malaysia Kini / Sinar Harian / Harian Metro / Sinar Harian
FT Image: AI
