Hidup sebagai sebatang kara setelah kehilangan ibu bapa pada usia muda bukanlah mudah. Namun bagi Muhammad Haziq Hakimi Afzal, 18 tahun, berasal dari Rembau ini, ujian hidup itu menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah jauh.
Sangat membanggakan apabila Haziq kini menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Jordan!
HIDUP SEBATANG KARA, DAPAT 9A SPM DAN TAWARAN BELAJAR DI JORDAN!

Foto: Haziq dan keputusan SPM
Anak tunggal ini kehilangan ayah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan akibat penyakit kaki gajah ketika dia baru berusia sembilan tahun. Namun dugaan terbesar hadir pada 24 Julai tahun lalu apabila ibu tersayang pula pergi menghadap Ilahi akibat komplikasi jantung, saat dia sedang menyiapkan diri menghadapi peperiksaan percubaan SPM.
“Emak satu-satunya insan yang saya ada. Bila dia pergi, saya rasa hilang arah. Tapi pesanan terakhir emak tetap terngiang-ngiang iaitu dia selalu pesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh,” luahnya penuh sebak di rumah peninggalan arwah ibunya di Taman Pedas Perdana.
Ibunya hanyalah seorang pekerja pembersihan di sekolah, namun tetap menekankan pentingnya pendidikan demi masa depan anak tunggalnya itu.
Berpegang teguh pada pesanan itu, Muhammad Haziq bangkit mengumpul kekuatan dan akhirnya berjaya meraih 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lebih membanggakan, beliau kini menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Jordan.
“Kalau emak masih ada, pasti dia orang paling gembira. Ini impian dia, melihat saya berjaya dan menjejak kaki ke menara gading,” katanya.
Selepas pemergian ibunya, Haziq menumpang kasih di rumah bapa saudaranya di Chengkau untuk memudahkan urusan ke sekolah. Kini, selepas tamat SPM, dia kembali ke rumah arwah ibu di Taman Pedas Perdana.
BUAT ‘PART TIME’ GURU GANTI KELAS AGAMA

Haziq tunjuk foto terakhir bersama arwah ibu.
Dalam tempoh menunggu ke Jordan, Haziq tidak duduk diam. Dia kini menjadi guru ganti bagi Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) dan turut mengajar tuisyen untuk menambah pendapatan. Lebih membanggakan, dia juga menulis cerpen dan puisi yang dihantar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Duit pencen penakat arwah emak daripada PERKESO sebanyak RM700 sebulan memang sangat membantu. Tapi saya juga usaha sendiri untuk tambah pendapatan dan teruskan hidup,” katanya.
Jelas Muhammad Haziq, sokongan moral daripada guru-guru, rakan-rakan serta ahli keluarga amat bermakna sepanjang perjalanan penuh cabaran ini.
“Saya tak mahu terus tenggelam dalam kesedihan. Saya mahu buktikan pada diri sendiri dan pada arwah emak bahawa saya mampu berjaya, walaupun kini sebatang kara,” ujarnya, penuh azam.
Menurutnya lagi, dia dijadual mengikuti kursus Bahasa Arab pada Oktober nanti sebagai persiapan sebelum berlepas ke Jordan. Semoga terus maju jaya dan belajar rajin-rajin!
Sumber: Sinar Harian
