Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang lelaki hidu kasut milik seorang wanita di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 7, Shah Alam mengundang rasa kurang senang dalam kalangan warga maya.
Tidak lama selepas rakaman itu tular, polis mengesahkan suspek berjaya diberkas kerana disyaki menghendap seorang penuntut wanita selama kira-kira tiga bulan.
Baca juga: Tergamak! Peniaga Disyaki Cab*l 10 Budak, Dekati Mangsa Di Taman Permainan & Surau Di Melaka
‘STALKER’ 3 BULAN CURI-CURI HIDU KASUT DICEKUP

Suspek ditahan kurang lima jam selepas laporan dibuat
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 22 tahun pada kira-kira pukul 3.55 petang Ahad.
Bertindak atas maklumat itu, polis berjaya menahan suspek berusia lingkungan 20-an sekitar pukul 8.30 malam.
Sarudin berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah beberapa kali diganggu dan diekori oleh individu sama ketika berada di kawasan universiti serta berhampiran kediamannya sejak April lalu sehingga kini.
“Suspek dikatakan mengganggu dan mengekorinya ketika berada di tempat pengajian serta di kawasan rumah.
“Susulan, kita telah berjaya menahan suspek yang juga penuntut sebuah universiti awam dan kini direman sehari,” katanya dalam kenyataan semalam.
Polis turut memaklumkan hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif terhadap penggunaan dadah.
Baca juga: Lebih 4,000 Pelajar Positif Cacing Hati, Hidangan Somtam & Pla Ra Kini Disiasat Pihak Berkuasa!

Disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melakukan perbuatan menghendap (stalking) secara berulang.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda.
Polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sabryna Taha di talian 014-5130450.
Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di Threads memaparkan seorang lelaki berkelakuan pelik. Di mana, lelaki tersebut bertindak mengambil kasut dari sebuah unit pangsapuri sebelum menghidunya.
Sumber: Facebook Polis (IPD) Shah Alam
FT Image: Tangkap layar video tular
