Kenyataan media rasmi yang dikeluarkan hari ini oleh barisan peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, membuka lembaran baharu dalam kes kematian tragis pelajar Tingkatan Satu itu yang menggemparkan negara sejak 16 Julai lalu.
Perkongsian di Facebook oleh pendakwah bebas berlatarbelakangkan undang-undang, Ustazah Marhamah Rosli, memaparkan intipati kenyataan media tersebut yang memberikan perspektif baharu berhubung insiden kematian pelajar berkenaan. Dan sekaligus, menghidupkan lagi gelombang tanda pagar #JusticeForZara di media sosial.
Baca juga: Ibu Zara Qairina Mahu Kubur Anaknya Digali Semula, Tuntut Jawapan Punca Kematian Arwah!
KENYATAAN MEDIA RASMI PEGUAM KELUARGA ARWAH ZARA QAIRINA

Antara intipati penting dalam kenyataan media oleh peguam rasmi mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina, Encik Hamid Ismail dan AlanShahlan Jufri ialah:
- Ibu Zara menafikan sepenuhnya bahawa arwah membunuh diri.
- Terdapat keraguan serius terhadap punca kematian yang dikaitkan dengan unsur jenayah.
- Pihak keluarga juga memohon inkues segera bagi menentukan punca sebenar kematian.
- Tiada bedah siasat dilakukan sebelum pengebumian arwah.
- Wujud rakaman suara dan bukti-bukti penting yang telah diserahkan kepada pihak polis.
- Keluarga Zara tidak pernah ditunjukkan hasil siasatan sejak laporan dibuat.
- Tuduhan terhadap ibunya adalah fitnah kejam yang sangat tidak berperikemanusiaan.
Baca juga:
Kenyataan ini disifatkan sebagai langkah penting untuk menuntut keadilan terhadap Zara, yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah agama di Papar, Sabah, sekitar pukul 3 pagi pada 16 Julai.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari, keesokan harinya.
Kematian pelajar berusia 13 tahun ini mencetuskan pelbagai spekulasi, khususnya dakwaan berkait dengan buli, sekali gus mengundang kemarahan dan kesedihan masyarakat di seluruh negara.
Dengan wujudnya kenyataan rasmi ini, orang ramai diminta untuk tidak lagi membuat andaian liar, sebaliknya memberi sokongan kepada usaha keluarga untuk menuntut keadilan. Warga maya juga digesa menyebarkan maklumat yang sahih dan meneliti kenyataan peguam secara menyeluruh.
“Kami mohon semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan untuk membaca dan meneliti kenyataan media ini sepenuhnya. Jangan benarkan kes ini berakhir dengan diam. Sila bantu sebarkan. Kebenaran perlu ditegakkan,” ujar Marhamah dalam hantaran beliau.



Baca juga: Tular Pelajar Cemerlang Tingkatan 1 Maut Terjatuh Bangunan Asrama & Timbul Dakwaan Arwah Dibuli!
Sumber: Marhamah Rosli
