Dilahirkan sebagai individu Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, perjalanan hidup wanita ini bukanlah jalan yang mudah. Namun di sebalik kekangan, beliau membuktikan dalam kisah kejayaan OKU ini bahawa tekad dan keyakinan mampu mengubah nasib serta membuka pintu-pintu kejayaan yang dulunya kelihatan jauh dari jangkauan.
Mari kita selami kisah inspirasi dari Puan Nurdiyana Pasro Radzi yang berasal dari Alor Star, Kedah tentang kerjaya dalam ‘dunia OKU’.
KISAH KEJAYAAN OKU DALAM KERJAYA BERI INSPIRASI, PERNAH DIBULI NAMUN TAK PERNAH TEWAS

Segalanya bermula di UiTM Shah Alam, di mana beliau menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Komputer, sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Sains Teknologi Maklumat. Kejayaan demi kejayaan tercipta, termasuk pemilihan menyertai Program Pertukaran Pelajar ke Kazakhstan dan membentangkan kertas kerja dalam persidangan antarabangsa.
Tidak terhenti di situ, pada tahun 2024, beliau mengambil langkah berani menyambung pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) sambil bekerja. Dengan semangat luar biasa, beliau menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang CGPA 4.0 dan ini bukti bahawa fizikal bukan penghalang kepada kejayaan akademik.
Namun di sebalik pencapaian, ada kisah luka yang membentuk jati dirinya. Semasa kecil, beliau sering menjadi mangsa ejekan dan buli kerana kekurangan fizikal. Antara kejadian yang kekal dalam ingatannya hingga kini, pelajar lelaki sering mengejeknya setiap kali melalui tangga sekolah.
Namun, di sinilah kekuatan sebenar mula terbentuk. Sokongan tidak berbelah bahagi datang daripada keluarga, terutama kakaknya, menjadi batu loncatan dalam membina semula keyakinan diri.
Menongkah Arus Dalam Dunia Kerjaya, OKU Tak ‘Lambat’

Beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah turut mengukir nama dalam tiga sektor pekerjaan utama iaitu swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sektor awam. Setiap sektor memberikan cabaran berbeza, tetapi juga pengalaman berharga yang mengukuhkan dirinya sebagai seorang profesional yang dihormati.
Di sektor swasta, beliau berdepan cabaran membuktikan kemampuan dalam persekitaran yang pantas dan kompetitif. Di GLC pula, buat pertama kali beliau diberi kepercayaan dan dilihat berdasarkan keupayaan, bukan kekurangan. Kini di sektor awam, sebagai Pembantu Makmal, beliau memikul tanggungjawab dengan penuh teliti dan berdedikasi, membuktikan bahawa OKU juga mampu menyumbang secara profesional dan berkesan.
Keistimewaan yang beliau terima di tempat kerja bukan dalam bentuk layanan khas, tetapi kemudahan akses yang lebih mesra OKU, fleksibiliti jadual, serta sokongan rakan sekerja yang memahami. Semua ini menjadi pemangkin semangat, bukan pelemah daya usaha. Ia membuktikan bahawa apabila diberi ruang dan kepercayaan, individu OKU mampu mencipta impak yang besar.
Tambahnya lagi, satu perkara yang ingin beliau ubah adalah persepsi bahawa individu OKU ‘lambat’, tidak produktif dan hanya sesuai untuk kerja ringan. Hakikatnya, beliau percaya ramai OKU yang mempunyai tahap komitmen tinggi kerana ingin membuktikan kemampuan mereka. Apa yang diperlukan hanyalah peluang untuk menyerlah.
Jadi, Diyana juga menyeru agar sektor pekerjaan di Malaysia jadi lebih inklusif, bukan sekadar beri peluang, tetapi cipta ruang dan sokongan. Dasar seperti kuota 1% pengambilan OKU perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten, agar tidak hanya kekal sebagai dasar atas kertas.
Pesanan terkhir dalam sesi temu bual bersama Siraplimau sempena kempen NextStop: Kerjaya adalah, jangan biarkan kekurangan menghalang impian dan bangkit setiap kali jatuh! Buktikan bahawa kita (OKU) juga berhak bermimpi besar dan bekerja setara dengan sesiapa pun.
Paling penting adalah, jangan malu menjadi diri sendiri, kerana nilai diri kita tidak ditentukan oleh fizikal, tetapi oleh hati dan usaha kita.
*Amaran: Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman website yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.
