“Hebatnya anak Malaysia! Bukan hanya menang, tetapi turut cipta rekod dunia dalam sukan memanah berkuda.” Begitulah luahan bangga seluruh rakyat Malaysia apabila kontinjen muda negara menggegarkan pentas dunia dengan muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Dunia Kanak-Kanak Memanah Berkuda (IHAA) 2025 yang berlangsung di Bogor, Indonesia.
Kejayaan ini bukan sekadar tentang kemenangan, ia adalah simbol semangat, disiplin dan potensi luar biasa generasi muda Malaysia dalam sukan tradisional yang kini mendapat tempat di peringkat global melalui memanah berkuda.
Baca juga: Serba Daif Tapi Kemas & Tinggi Adab Melayu, Rumah Warga Emas Ini Jadi Bualan Mulut Warga Maya!
MEMANAH BERKUDA MALAYSIA RAIH 9 EMAS & 1 REKOD DUNIA

Gambar kredit YB Hannah Yeoh
Kejohanan yang menghimpunkan wakil dari 15 buah negara ini menyaksikan pasukan Malaysia bukan saja menewaskan gergasi seperti Turkiye dan Indonesia, malah turut membawa pulang 9 pingat emas, 5 perak dan 2 gangsa daripada pelbagai kategori umur.
Lebih membanggakan, salah seorang atlet cilik negara, Muhamad Akmal, mencipta sejarah apabila memecahkan rekod dunia dalam kategori Raid234 dengan kutipan 120.282 mata, sekaligus memegang Rekod Dunia Junior dan Rekod Dunia Keseluruhan.
Beliau menunggang kuda pantas bernama Quiver dan detik luar biasa ini mencerminkan tahap kecekapan, keberanian dan fokus tinggi dalam dirinya iaitu nilai yang pasti membentuk perwira masa depan.

Gambar kredit International Horseback Archery Alliance
Nama-nama seperti Abu Bakr Muhammad Akmal, Abdurrahman Ahmad Mu’az, Hazzil Hamidi dan Heba Nusaybah Ahmad Mu’az juga tidak kurang hebatnya, tampil menyerlah dengan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.
Mereka membuktikan bahawa bakat muda Malaysia mampu menyerlah apabila diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya.

Gambar kredit IEA.official
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, turut menzahirkan rasa bangga di Facebook beliau,
“Tahniah pasukan Malaysia di atas kejayaan muncul sebagai juara International Horseback Archery Alliance (IHAA) World Kids Championships 2025 di Indonesia.
“Anak-anak Malaysia terus membanggakan negara di pentas dunia sekali gus membuktikan bahawa potensi atlet kita boleh berkembang di pelbagai ruang,” kongsi beliau pada Ahad.
Kejohanan Dunia Kanak-Kanak Memanah Berkuda IHAA 2025 yang berlangsung pada 9 hingga 13 Julai itu menghimpunkan penyertaan dari 15 buah negara seperti Malaysia, Turkiye, Perancis, Kazakhstan, China, Vietnam, Korea Selatan, Uzbekistan, Thailand, Jepun, Taiwan, Singapura, Afrika Selatan, Mongolia dan Indonesia.
Kemenangan ini harus diraikan bukan hanya sebagai pencapaian sukan semata-mata, tetapi inspirasi besar buat ibu bapa, pendidik dan pembuat dasar.
Ia menjadi bukti bahawa bakat anak-anak Malaysia bukan hanya untuk bilik darjah, tetapi juga padang dunia. Jika digilap dengan minat, bimbingan dan pendedahan antarabangsa.
Tahniah sekali lagi, anak-anak wira memanah berkuda Malaysia! Anda telah menulis sejarah, bukan hanya untuk sukan, tetapi untuk seluruh jiwa dan harapan negara.
Baca juga: Wan Sekerat Usahawan OKU Satu Kaki Bukti Mampu Berdikari, Bakar Jiwa Orang Ramai!
Sumber: Hannah Yeoh / International Horseback Archery Alliance / IEA.official
FT Image:
