Sepasang suami isteri direman selama enam hari sehingga 25 Jun depan kerana disyaki terlibat dalam kes penderaan anak perempuan berusia 11 tahun.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi memaklumkan pihaknya menerima laporan kes penderaan itu kira-kira jam 10.40 malam daripada seorang pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis yang sebelum itu hadir ke sebuah kediaman di Taman Desa Saujana, Arau.
Baca juga: Kek Tiramisu Boleh Jadi Bahaya Kalau Anak Suka Makan, Ada ‘Bahan’ Buat Si Kecil Tantrum!
KES PENDERAAN BUDAK 11 TAHUN, TERUK KENA PUKUL DENGAN IBU AYAH

“Pegawai berkenaan pergi ke sebuah rumah di Taman Desa Saujana, Arau Perlis selepas menerima aduan awam mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki didera secara fizikal oleh ibu kandungnya.
“Pihak JKM kemudian menyelamatkan kanak-kanak itu dengan ditempatkan di tempat selamat di Rumah Kanak-Kanak Arau Perlis dan satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu,” jelasnya.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak yang bersekolah di sebuah sekolah di Kangar itu tinggal bersama ibu bapa di taman perumahan berkenaan.
Kes penderaan dipercayai telah berlaku sejak kira-kira dua tahun lalu, dengan insiden terbaru dilaporkan semalam sekitar jam 12.30 tengah hari. Dalam kejadian itu, mangsa dipukul di bahagian belakang badan menggunakan sebatang rotan oleh bapanya, kononnya kerana berkelakuan nakal.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan pada kepala, badan, kaki dan tangan dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Hasil pemeriksaan pegawai perubatan di hospital itu mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala, bibir, dada, rusuk, belakang badan, lengan dan betis disyaki terkena objek tumpul dan air panas.
Kecederaan yang dialami juga disahkan adalah kecederaan baharu dan lama dan mangsa dibawa ke Unit Pediatrik hospital yang sama untuk rawatan lanjut.
Kanak-kanak itu diserahkan kepada JKM Perlis menggunakan kuasa pelindung berdasarkan Seksyen 18 Akta Kanak-Kanak 2001 dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Baca juga: Baca Doa Ini Setiap Hari Agar Otak Anak Lebih ‘Power’, Tengok Sendiri Perubahan Nanti!
Sumber: BH Online
