Euforia Bola 2026
Nur

Hukum Cium Kaki Ibu & Orang Soleh Dalam Perspektif Islam, Tanda Hormat Atau Berlebih-lebihan?

hukum cium kaki ibu

Dalam masyarakat Islam, penghormatan terhadap ibu bapa, orang alim, guru dan para pemimpin yang adil adalah sesuatu yang amat dituntut. Namun, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat tentang bentuk penghormatan yang sesuai, khususnya hukum cium kaki ibu serta orang-orang soleh.

Adakah ia dibenarkan oleh syarak? Atau terdapat batas-batas yang perlu diberi perhatian? Berikut merupakan penjelasannya.

Baca penuh: Hibah Bukan Ada Satu Saja, Ini 5 Jenis Hibah Dalam Islam Yang Ramai Tak Tahu & Jadi ‘Punca’ Gaduh!

Hukum Cium Kaki Ibu & Orang Soleh, Boleh Ke?

hukum cium kaki ibu

Foto: freepik

Secara umumnya, para ulama bersepakat bahawa diharuskan untuk mencium tangan orang alim, guru, ibu bapa, dan sesiapa sahaja yang memiliki kedudukan mulia dalam agama. Perbuatan ini termasuk dalam bentuk penghormatan dan tawaduk, selama mana ia dilakukan tanpa niat berlebih-lebihan, tidak menimbulkan rasa ujub pada pihak yang dicium, dan bebas daripada unsur syahwat.

Begitu juga hukum mencium kepala, dahi, dan kaki turut dikategorikan dalam bentuk penghormatan yang dibenarkan, berdasarkan beberapa riwayat sahih daripada sahabat dan salafussoleh. Terdapat beberapa hadith dan riwayat sahabat yang menyokong keharusan perbuatan mencium kaki:

1. Riwayat Zari‘ bin ‘Amir menyebut bahawa ketika mereka tiba di Madinah, mereka berlumba-lumba turun dari tunggangan untuk mencium tangan dan kaki Nabi SAW sebagai tanda kasih dan penghormatan.

2. Riwayat Safwan bin ‘Assal, mencatatkan bahawa dua orang Yahudi datang bertemu Rasulullah SAW, bertanya tentang hukum-hukum Islam, lalu selepas mendengar jawapan Baginda, mereka mencium kedua-dua tangan dan kaki Baginda dan mengakui kerasulannya.

3. Amalan sahabat seperti Ali RA mencium tangan atau kaki al-‘Abbas RA, serta Thabit RA mencium tangan Anas bin Malik RA, turut menunjukkan bahawa perbuatan ini diamalkan dalam kalangan para sahabat tanpa ditolak secara mutlak.

4. Bahkan dalam kitab al-Tirmizi, terdapat satu bab khusus berjudul “Bab Hadith-Hadith Mengenai Mencium Tangan dan Kaki”, yang menunjukkan pengiktirafan terhadap amalan tersebut sebagai sunnah hasanah jika dilakukan dengan niat yang benar.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa mencium tangan orang soleh dan alim adalah sunat, manakala jika dilakukan kerana kekayaan, kedudukan dunia atau pangkat, hukumnya adalah makruh dan boleh menjadi haram.

Syeikh Ibn ‘Uthaimin pula menyebut bahawa perbuatan mencium tangan atau kaki orang yang lebih tua, mulia atau berilmu adalah harus, malah termasuk dalam akhlak yang mulia, selagi tidak menimbulkan perasaan takabbur pada diri mereka.

Batasan yang Perlu Dijaga

hukum cium kaki ibu

Contoh gambar anak perempuan nak cium kaki ayah.

Walaupun hukum mencium kaki ibu, bapa atau orang alim adalah harus, terdapat beberapa garis panduan penting:

– Tidak menyerupai sujud – Elakkan daripada perbuatan yang menyerupai sujud kerana ia hanya layak dilakukan kepada Allah SWT.

– Tidak menjadi kebiasaan yang berlebihan – Budaya mencium kaki ini tidak wajar dijadikan satu kebiasaan dalam masyarakat sehingga menimbulkan salah faham atau fitnah.

– Niat yang ikhlas dan bersih – Ia mesti dilakukan atas dasar penghormatan, bukan kerana memuja atau memuliakan individu secara berlebihan.

– Elakkan daripada menimbulkan rasa ujub – Jika pihak yang dicium merasakan dirinya lebih mulia atau tinggi daripada orang lain kerana perbuatan itu, maka ia membawa kepada kemudaratan yang perlu dielakkan.

Kesimpulannya, mencium kaki ibu bapa, guru atau orang alim sebagai tanda hormat dan tawaduk adalah dibenarkan dalam Islam, selagi ia dilakukan dengan adab dan niat yang betul serta tidak menimbulkan fitnah. Namun, ia bukan suatu kewajipan dan tidak digalakkan untuk dijadikan amalan yang berlebihan dalam masyarakat.

Cukuplah dengan bersalaman dan mencium tangan sebagai tanda kasih dan hormat, sebagaimana yang menjadi adat yang lebih diterima dalam budaya masyarakat setempat. Yang paling utama adalah menjaga hati, adab dan niat dalam setiap bentuk penghormatan yang kita tunjukkan.

Baca penuh: Trend Bulan Madu Di Makkah Makin Popular, Katanya Lebih Romantik & ‘Dekat’ Dengan Allah SWT?

Sumber: zulkiflialbakri

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×