Nahas UPSI yang berlaku pada pagi Isnin lalu telah meragut nyawa hafizah al-Quran, Nurly Shahirah Azman, 23, dan ia dianggap antara kematian yang dicemburui.
Menurut abangnya, Mohd Najmuddin, 28, berkata adik bongsunya itu merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut.
Baca juga: Nahas Gerik, Isteri Ustaz Lutfi Patah Lima Tulang Rusuk, Anak Lelaki 3 Tahun Tercampak Keluar Kereta
NAHAS UPSI: NURLY SHAHIRAH HAFAZ 30 JUZUK AL-QURAN

Selain mempunyai sikap yang mudah mesra dengan orang, arwah sentiasa berdampingan dengan al-Quran. Setiap waktu terluang dimanfaatkannya untuk mengulang hafalan, membaca, dan menulis ayat-ayat suci.
Lebih mengagumkan, Allahyarhamah menulis semula satu mushaf lengkap dengan tangannya sendiri, sebagai sebahagian dari latihan hafalannya, dikenali sebagai tahriri.
“Antara koleksi arwah tahriri. Arwah suka mengulang al-Quran dan tulis satu al-Quran guna tangan untuk kuatkan hafalan arwah. Berpusu-pusu media call aku dik tanya apa amalan kau dik. Ada media bagitahu dekat tempat kejadian wangi sangat.
“Dik, kau jaga al-Quran sangat baik dik..kau tak pernah tinggal langsung mengulang al-Quran setiap hari. Kita jumpa di syurga ye dik. Kami sayang kau dik. Tenanglah kau di sana dik,” luahnya si abang menerusi laman Facebooknya.
Setiap huruf ditulis perlahan, disemak, diulang. Setiap baris adalah usaha mengukuhkan ingatan dan mencantumkan hati dengan wahyu. Dalam dunia yang serba laju, tahriri adalah bentuk ibadah yang sangat perlahan tapi penuh makna.
Dalam diam, Nurly Shahirah mengumpul pahala yang mungkin ramai tak perasan. Tak tular ketika hidup, tapi kisahnya mencuri perhatian saat dia pergi.
Difahamkan juga, dia memegang kitab suci itu di dada sehingga akhir hayatnya ketika berlaku kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik.
“Kawan-kawan beritahu semasa kemalangan, kau sedang memegang kitab Allah di dada sehingga akhir hayat,” kata abangnya.
Menurut ahli keluarganya, sejak kecil Allahyarham mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang guru pendidikan khas dan dia sepatutnya menjalani latihan praktikal Ogos ini sebelum menamatkan pengajiannya di UPSI.
*Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman..
Baca juga: Waris Mangsa Nahas UPSI Menangis Hiba, Suasana Pilu Selubungi Hospital Gerik…
Sumber: Kosmo & Facebook Najmuddin Azman
