Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak, awal pagi Ahad lalu, disifatkan tergolong dalam golongan syahid akhirat kerana mereka sedang berjihad dalam menuntut ilmu.
Pandangan ini dikongsikan oleh Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, yang merujuk kepada fatwa dan pandangan tokoh ulama tersohor seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi dan Sheikh ‘Atiyyah Saqr.
Baca juga: Pergilah Melancong Ke Mana Pun Tapi Jangan Tinggal 11 Barang Ini, Masa Solat Rasa Yakin
15 PELAJAR UPSI DIKATEGORIKAN SYAHID AKHIRAT

Gambar Arkib NSTP: Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Menurut beliau, umat Islam yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya bukan akibat kecuaian atau maksiat sendiri, termasuk dalam kategori syahid akhirat.
Beliau berkata, walaupun kemalangan jalan raya tidak disebut secara khusus dalam hadis, ulama kontemporari memasukkannya (kemalangan itu) dalam qiyas terhadap kematian tertimpa atau terbakar yang mengejut dan menyakitkan, serta tidak disengajakan oleh mangsa.
Mangsa-mangsa kemalangan, termasuk 15 penuntut UPSI yang maut dalam perjalanan untuk kembali ke kampus, menurut Dr Mohd Sukki, sedang berada dalam keadaan menuntut ilmu iaitu satu bentuk jihad yang diangkat darjatnya oleh Islam.
Baca juga: 12 Doa Mustajab Untuk Anak Tersayang, Senjata Terhebat Ibu Ayah Boleh Baca Di Hari Arafah
“Dalam insiden tragis yang menimpa sekumpulan penuntut dalam perjalanan ke institusi pengajian tinggi, persoalan adakah mereka syahid sangat relevan, khususnya kepada waris dan masyarakat yang ingin memahami kedudukan sebenar mangsa di sisi agama,” ujar beliau ketika dihubungi Harian Metro.
Ulama membahagikan syahid kepada tiga kategori:
- Syahid dunia dan akhirat – mereka yang mati di medan perang dengan niat ikhlas kerana Allah.
- Syahid dunia sahaja – mati dalam perang tetapi niatnya bukan kerana Allah.
- Syahid akhirat – mereka yang mati dalam situasi tertentu seperti terbakar, lemas, tertimbus, dan juga termasuk kemalangan jalan raya tanpa unsur dosa atau kecuaian.
“Dalam kes kemalangan itu, mangsa adalah penumpang dan penuntut universiti yang dalam perjalanan menuntut ilmu, maka insya-Allah mereka tergolong dalam kategori syahid akhirat, iaitu diberi ganjaran besar oleh Allah di akhirat kelak.
“Bagaimanapun, jenazah mereka tetap dimandikan dan disolatkan sebagaimana jenazah biasa,” jelasnya lagi.
Baca juga: Tasik Galilee Semakin Kering! Betulkah Dajal Sudah Hampir Muncul?

Gambar oleh Mohd Syafiq Ambak – Jenazah 13 lagi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Gerik, Perak tiba di Masjid Hadhari, Jertih untuk disembahyangkan.
Menurut Mohd Sukki, kemalangan menimpa penuntut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku itu adalah satu musibah besar buat keluarga dan masyarakat.
Meskipun begitu, Mohd Sukki berkata, dalam sudut pandang Islam, ia juga peluang untuk mangsa terkorban mendapat kedudukan mulia jika memenuhi syarat syahid akhirat yang digariskan oleh syarak.
“Justeru, saya berharap keluarga dapat bersabar dengan ujian yang berat ini.
“Kita doakan semoga Allah SWT mengurniakan pahala syahid dan melapangkan kubur si mati serta mengurniakan ganjaran sabar yang besar kepada waris ditinggalkan,” katanya.
Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Daerah Angkatan Pertahanan Awam Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa penuntut UPSI dan sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat Banun, berdekatan Tasik Banding, Gerik.
Baca juga: “Neraka Bukan Bahan Jenaka”, PU Syed Kecam Konten Video Tular Didakwa Persenda Agama
Sumber: Harian Metro
FT Image: BERNAMA
