Mencetuskan kemarahan orang ramai apabila ada kes terbaharu penganiayaan haiwan berlaku melibatkan tiga orang kanak-kanak. Mereka dipercayai melarikan seekor anak kucing sebelum menganiayanya sehingga mati di kawasan perumahan Bandar Baru Salak Tinggi, dekat Sepang..
Kejadian tersebut menjadi tular di media sosial sejak semalam dan mendapat reaksi negatif dari para netizen.
3 ORANG KANAK-KANAK ANIAYA ANAK KUCING SAMPAI MATI

Rakaman CCTV dari pemilik kucing.
Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada pemilik kucing berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati insiden ini melibatkan tiga kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun.
“Kertas siasatan kini dibuka di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Norhizam, tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan kes penderaan haiwan.
“Tindakan kejam seperti ini bukan sahaja menunjukkan kurangnya nilai kemanusiaan, tetapi juga melanggar peruntukan undang-undang,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru masyarakat agar melaporkan sebarang kejadian penderaan haiwan kepada pihak berkuasa bagi memastikan tindakan tegas boleh diambil terhadap pelaku.
“BUDAK-BUDAK NI PSYCHO KE?”

Foto: Anak kucing tersebut sebelum ditemui mati.
Sebelum ini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di aplikasi TikTok memaparkan tiga kanak-kanak mengambil seekor kucing di hadapan sebuah rumah sebelum membawanya pergi.
Menurut hantaran pemilik kucing tersebut, dia menyedari haiwan peliharaannya hilang dan bertindak memeriksa rakaman CCTV. Rakaman itu menunjukkan perbuatan tiga kanak-kanak terbabit.
Pemilik haiwan tersebut turut memaklumkan bahawa dia meminta bantuan penduduk setempat untuk menjejaki kanak-kanak berkenaan. Hasil pencarian, dia menemui kucing peliharaannya dalam keadaan mati dipercayai akibat ditinggalkan dalam bekas tertutup.
“Sis. Saman family budak tu dan minta polis tangkap budak tu. Saya cikgu sekolah rendah..i tak taulah budak tu macam mana. Tapi based on sembang-sembang dengan kawan sekolah lain.. memang ada pun budak psychopath ni..apatah lagi kalau dapat dalam kalangan parents yang tak kisah. Tak tahulah budak ni dah kena hukuman ke tak..tapi bukti ada. Ishhhh rasa nk lempang budak tu..” komen netizen.
*Harapnya isu ini tidak dipandang sambil lewa kerana tindakan ini menggambarkan didikan ibu bapa terhadap anak-anak. Kalau dekat haiwan comel pun boleh dibuat begini, bagaimana agaknya perangai mereka apabila sudah dewasa nanti?
Baca juga: 8 Jenis Baka Kucing Termahal Dunia, Harga Hampir Sama Nilai Beli Sebuah Rumah
Sumber: BuletinTV3, Instagram @shahjihanshah
