Sambutan Hari Ibu tahun ini bertukar hening dan pilu apabila rakyat Malaysia dikejutkan dengan tragedi seekor anak gajah mati digilis sebuah lori muatan ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Apa yang paling menyayat hati bukan sekadar kematiannya, tetapi detik-detik selepas itu. Dalam kegelapan subuh yang dingin, kelihatan seekor gajah betina yang dipercayai ibunya, berdiri kaku di sisi tubuh anaknya yang terperangkap di bawah kenderaan. Dari gelap malam hingga cahaya pagi menyingsing, dia enggan beredar, seolah-olah meratapi kehilangan yang terlalu berat untuk diterima.
Baca juga: Bayi 22 Bulan Diserang Sawan Demam Panas Akibat ‘Disidai’ Hampir 11 Jam Di Wad, Hospital Mohon Maaf
TRAGEDI ANAK GAJAH MATI RUNTUN HATI, INI ANTARA FAKTA MENARIK TENTANG GAJAH
Berdasarkan tragedi ini, ramai dalam kalangan netizen mula cakna tentang keselamatan hidupan liar dan baru tahu kelebihan haiwan bernama gajah ini.

Foto tangkap layar semasa tragedi anak gajh digilis lori.
1. Ingatan Sangat Kuat
Gajah sebenarnya mempunyai memori luar biasa, sebab itulah muncul frasa “elephant never forgets”. Mereka boleh mengingati lokasi sumber air bertahun-tahun lamanya, malah mengenali manusia walaupun selepas berdekad. Lebih daripada sekadar mengenali wajah yang pernah mereka temui, deria gajah juga tajam dan mempunyai keupayaan mengingati peristiwa silam.
2. Makhluk Sosial
Gajah merupakan haiwan yang sangat sosial dan hidup dalam kelompok yang dikenali sebagai suku kaum. Satu kumpulan boleh terdiri daripada 4 hingga 100 ekor, bergantung kepada spesies dan ketersediaan sumber semula jadi. Lazimnya, kumpulan ini terdiri daripada gajah betina yang saling berkaitan seperti ibu, anak, dan saudara terdekat bersama anak-anak mereka. Hubungan antara mereka bukan sahaja erat, malah berkekalan seumur hidup.
3. Kehamilan Gajah
Gajah memegang rekod sebagai mamalia darat dengan tempoh kehamilan paling lama iaitu kira-kira 22 bulan atau hampir dua tahun. Proses yang panjang ini membolehkan anak gajah berkembang dengan sempurna dalam rahim, memandangkan saiz dan kerumitan fisiologi mereka. Kehamilan yang luar biasa lama ini juga mencerminkan naluri penjagaan dan perlindungan tinggi dalam kalangan gajah betina, yang akan menyambut kelahiran anak mereka ke dalam kelompok dengan perhatian dan kasih sayang yang luar biasa.
4. Belalai Gajah
Belalai gajah adalah salah satu ciri paling ikonik dan luar biasa dalam dunia haiwan. Ia mengandungi lebih daripada 40,000 otot dan menjadikannya antara organ paling kompleks dan serba boleh di alam semula jadi. Struktur unik ini terdiri daripada dua saluran berasingan yang membolehkan gajah mengawal pergerakan belalai dengan ketepatan luar biasa.
Dalam kehidupan harian, belalai memainkan pelbagai peranan penting, digunakan untuk mengambil makanan, menyedut dan menyembur air, menyentuh atau menenangkan anak, serta berkomunikasi melalui sentuhan dan bunyi.
5. Gajah Berduka
Gajah bukan sahaja makhluk yang besar dan kuat, malah memiliki jiwa yang lembut dan penuh emosi. Mereka dikenali sebagai antara haiwan paling pintar dari segi emosi, mampu menunjukkan perasaan kompleks yang menyerupai manusia termasuk kesedihan dan rasa kehilangan.
Apabila salah seekor ahli kawanan mati, gajah lain tidak sekadar berlalu pergi. Mereka akan berkumpul mengelilingi mayat, menyentuh tubuh yang tidak lagi bernyawa itu dengan belalai mereka, seolah-olah mengucapkan selamat tinggal terakhir. Kadangkala mereka mengeluarkan bunyi seperti sangkakala yang panjang dan sayu, tanda kesedihan yang sukar diluahkan dengan cara lain.
6. Personaliti Gajah
Sama seperti manusia, gajah juga memiliki keperibadian yang berbeza-beza. Ada yang bersifat sosial dan ingin tahu, manakala yang lain lebih pendiam dan berhati-hati. Mereka bukan sekadar makhluk besar yang berkeliaran di hutan malah mereka adalah individu dengan sifat unik, emosi mendalam, dan hubungan sosial yang kompleks.
Gajah dikenali sebagai haiwan yang sensitif, penyayang, dan bijak. Keperibadian ini terbentuk hasil daripada ikatan kekeluargaan yang rapat serta struktur sosial yang tersusun. Dalam kumpulan mereka, gajah membina persahabatan yang berkekalan, saling menyokong ketika senang dan susah, dan menunjukkan empati terhadap yang terluka atau bersedih.
7. Komunikasi Dalam Bunyi Yang Tak Terdengar, Tapi Bermakna
Gajah memiliki keupayaan luar biasa untuk berkomunikasi menggunakan infrasonik iaitu gelombang bunyi frekuensi rendah yang tidak dapat didengar oleh telinga manusia. Walaupun senyap bagi kita, bunyi ini mampu merentasi jarak sejauh beberapa kilometer, membolehkan gajah berhubung antara satu sama lain walaupun berada jauh di dalam hutan atau savana.
Melalui infrasonik, gajah boleh menyampaikan pelbagai mesej penting seperti amaran bahaya, panggilan untuk berkumpul, atau sekadar berhubung dengan ahli keluarga. Ia ibarat bahasa rahsia yang hanya difahami oleh mereka.

*Tangisan senyap sang ibu gajah dalam video yang tular bukan sahaja meruntun jiwa kita yang menyaksikannya, malah mengingatkan kita bahawa kasih seorang ibu melangkaui spesies, penuh setia dan tanpa suara, namun cukup kuat untuk menggoncang hati manusia. Semoga ada perubahan dalam sistem penjagaan hidupan liar di negara kita kerana semua nyawa itu bermakna…
Baca juga: 4 Jam Ibu Keluar Dengan Teman Lelaki Tinggal 3 Anak Kecil Di Rumah, Akhirnya Maut Dalam Kebakaran!
Sumber: elephantfreedom, Berita Harian
