Satu lagi insiden menyayat hati membabitkan hidupan liar berlaku di Johor apabila seekor anak gajah mati selepas dilanggar sebuah kereta di Jalan Felda Nitar, Mersing, awal pagi semalam.
Kejadian yang tular di media sosial itu mengundang rasa pilu apabila ibu gajah berkenaan dilihat enggan meninggalkan bangkai anaknya selama hampir tujuh jam, mengingatkan ramai kepada tragedi sama yang pernah berlaku di Gerik, Perak pada Mei tahun lalu.
Baca juga: Bayi 9 Bulan Diculik Ketika Ibu Sedang Tidur, Jadi Mangsa ‘Kerakusan’ Remaja 12 Tahun!
ANAK GAJAH MATI DILANGGAR, IBU GAJAH SETIA TUNGGU 7 JAM

Rakaman video yang dikongsikan orang ramai menunjukkan gajah betina itu berdiri di sisi anaknya yang sudah tidak bernyawa selepas kemalangan berlaku kira-kira jam 2.28 pagi.
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut sekitar jam 8.30 pagi sebelum sepasukan pegawai dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
Hasil siasatan mendapati anak gajah yang terlibat ialah seekor gajah betina yang dianggarkan berusia sekitar lima tahun. Ketika pasukan tiba, ibu gajah itu masih berada berhampiran bangkai anaknya.
Siasatan turut mendapati kumpulan gajah berkenaan dikenal pasti daripada ID Jamaluang-Mersing. Anak gajah itu dikenal pasti sebagai gajah betina dengan ukuran panjang badan kira-kira 150 sentimeter, tidak mempunyai gading serta lebar tapak kaki hadapan 11 inci dan tapak kaki belakang 14 sentimeter,” jelasnya.
Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, Unit Tangkapan Gajah dari Pusat Santuari Gajah Johor (JES) digerakkan untuk membantu memindahkan ibu gajah tersebut kembali ke habitatnya.
Sementara itu, bangkai anak gajah berkenaan telah ditanam di kawasan berhampiran selepas operasi selesai dijalankan.
Perhilitan turut memaklumkan bahawa rondaan akan diteruskan pada waktu malam dan keesokan harinya bagi memantau pergerakan ibu gajah tersebut serta memastikan ia tidak kembali ke lokasi kemalangan.
Pemandu cedera selepas kereta terbabas

Dalam kejadian sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan seorang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian kaki selepas kereta Perodua Bezza yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter akibat melanggar anak gajah tersebut.
Pihak berkuasa turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada ketika melalui laluan itu kerana kawasan berkenaan sememangnya dikenal pasti sebagai lokasi gajah melintas, selain keadaan jalan yang agak gelap terutama pada waktu malam.
Menurut pihak berkuasa, papan tanda amaran mengenai laluan gajah juga telah dipasang sebelum ini sebagai langkah keselamatan kepada pengguna jalan raya.
Insiden ini mengembalikan ingatan orang ramai kepada tragedi yang berlaku di Gerik, Perak pada 11 Mei tahun lalu apabila seekor anak gajah maut selepas terperosok di bawah sebuah lori kontena akibat dilanggar.
Ketika itu, seekor gajah dewasa yang dipercayai ibunya turut dirakam cuba menolak lori berkenaan dalam usaha menyelamatkan anaknya.
Baca juga: Keputusan Rayuan UPUOnline 2026/2027 Boleh Semak Bermula Esok (2 Julai), Good Luck Adik-Adik!
Sumber: Berita Harian
