Pemakaian lencana pin Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar murid sudah mula dilaksanakan sejak April selepas Kementerian Pendidikan sebelum ini memaklumkan ia akan dilaksana secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Namun, tindakan dari KPM ini mengundang perdebatan dalam kalangan ibu bapa yang mengatakan bahawa rekaan pin tersebut akan mengundang bahaya terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Ternyata, kerisauan ini menjadi benar!
Baca juga: “Study Lepas Tidur Lebih Ingat” – Gaya Belajar Anak Rita Rudaini Diiktiraf Pakar, Guna Teknik Jeda
LENCANA PIN JALUR GEMILANG TERCUCUK KAKI!

Kejadian terbaharu berlaku apabila pin bendera yang dipakai oleh seorang abang yang bersekolah tercabut dan terjatuh di atas kerusi kereta tanpa disedari. Mengeruhkan keadaan, adiknya yang masih kecil, kemungkinan berumur prasekolah, kemudian duduk di atas kerusi tersebut dan secara tidak sengaja tercucuk pin tersebut di tapak kakinya.
Walaupun langkah kementerian memperkenalkan pin ini melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru dengan objektif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid serta warga pendidik namun ibu bapa masih perlu berjaga-jaga.
Perkongsian gambar kanak-kanak perempuan yang tercucuk tapak kakinya ini mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan rakyat Malaysia. Ada yang menyalahkan ibu bapa kerana tidak menjaga keadaan sekeliling anak-anak dengan elok dan ada juga yang meluahkan rasa dari awal bahawa tindakan dari kerajaan ini ‘tidak kena’.
“Tanda nama dan lencana telah dijahit kemas pada pakaian pelajar, namun kini diperkenalkan pula bendera yang perlu dipakai menggunakan pin. Keputusan untuk meluluskan penggunaan pin bagi pelajar sekolah rendah amatlah tidak wajar dan menimbulkan persoalan tentang pertimbangan keselamatan. Pin seumpama itu sepatutnya tidak dijadikan pilihan langsung untuk murid-murid pada peringkat usia tersebut,” – netizen.
“Ha kan dah cakap. Haritu aku komen, kena kecam konon tak ada semangat patriotik la, tak warganegara lah. Memang kena ada kes dulu barulah nak sedar. Itu pun kalau yang atas-atas tu sedar,” – netizen.
“Aku dah cakap dah mesti akan ade kes tercucuk macam ini. Budak-budak kau bagi benda tajam ingat dia tahu. Kenapa la tak bagi macam lencana yang jahit saja?” – netizen.

*Memang ngilu tengok kejadian! Semoga adik ini kembali sembuh dan diharapkan ibu bapa lebih berjaga-jaga dalam pengunaan lencana pin ini ya.
Baca juga: Ini 11 Laman Web Penting Mak Ayah & Adik Lepasan SPM WAJIB Tahu, Buat Pilihan Bijak Tau!
Sumber: X @KhairulAqmal
