Dahulu, soalan seperti “Bila nak ada anak?” sudah dianggap biasa selepas pasangan melangsungkan perkahwinan. Namun, hari ini, jawapannya mungkin akan membuatkan orang terdiam kerana ramai yang cuba elak hamil dengan menjawab “Kami memilih untuk tidak ada anak.”
Semakin ramai pasangan berkahwin, terutamanya di kawasan bandar dan dalam kalangan generasi muda, secara terbuka membuat keputusan untuk tidak menimang cahaya mata. Keputusan ini dikatakan bukan dibuat secara sembrono, tetapi ada puncanya.
Baca juga: Fenomena ‘Childfree Lifestyle’ Makin Popular Di Malaysia, Kahwin Tapi Tak Nak Anak!
ELAK HAMIL SELEPAS KAHWIN NAK IKUT TREND ‘CHILDFREE’, RUPANYA SEBAB PUNCA INI

Foto: Freepik
Bagaimana masyarakat kita menerima hakikat bahawa tidak semua perkahwinan berakhir dengan suara tangisan bayi? Terdapat beberapa sebab utama yang mendorong pilihan ini:
1. Tekanan Ekonomi
Kos sara hidup yang tinggi, terutamanya di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, menjadikan ramai pasangan rasa tidak mampu untuk menanggung kos membesarkan anak. Perkara seperti harga rumah, pendidikan, perubatan, dan penjagaan harian kanak-kanak dianggap sangat membebankan.
2. Fokus Kerjaya dan Kebebasan Peribadi
Ramai individu masa kini mengutamakan pembangunan kerjaya, pencapaian peribadi, atau mahu menikmati kebebasan seperti melancong, menambah ilmu, atau meneroka minat lain yang mungkin terhad jika mempunyai anak.
3. Kesedaran Tentang Kualiti Keibubapaan
Sesetengah pasangan merasakan jika tidak mampu menyediakan masa, emosi, dan sumber yang cukup untuk anak, lebih baik untuk tidak mempunyai anak langsung daripada menjadi ibu bapa yang tidak bersedia.
4. Bimbang Tentang Masa Depan
Isu seperti perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi global, kestabilan politik, dan masa depan pendidikan membuatkan sesetengah pasangan rasa tidak yakin untuk ‘melahirkan’ anak ke dunia ini.
5. Pengaruh Gaya Hidup dan Media Sosial
Gaya hidup minimalis, pendedahan kepada budaya barat yang lebih terbuka dengan konsep childfree, dan perkongsian kisah hidup bebas anak di media sosial juga mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap norma keluarga tradisional.
6. Masalah Kesihatan atau Kesuburan
Sesetengah pasangan memilih untuk tidak mendapatkan anak kerana isu kesihatan fizikal, mental, atau ketidaksuburan dan mereka selesa menerima keadaan itu tanpa tekanan untuk ‘cuba sampai berjaya’.

Foto hiasan.
*Namun, perlu diingatkan kepada umat Islam bahawa berkahwin semata-mata untuk berseronok dan dengan sengaja mengelak untuk dapatkan zuriat adalah haram dari segi agama.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya,
“Berkahwinlah dan beranak pinaklah, sesungguhnya aku akan berbangga dengan ramai umatku pada hari kiamat…”
Baca juga: Dr Imelda ‘Dedah’ Sindrom Ekstrem Bayi Satu Mata & Tanpa Hidung Berlaku 1 Dalam 100,000 Kelahiran
Sumber: Marriage.com
