Mewarisi semangat dan minat daripada figura seni tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, anak sulungnya Siti Aafiyah kini mencuri perhatian apabila mula menunjukkan kecenderungan dalam bidang sukan.
Meskipun baru berusia tujuh tahun, Aafiyah telah pun aktif menyertai acara sukan di sekolah. Ini membuktikan bakat dan semangat daya saing yang tinggi persis ibunya yang juga aktif dalam dunia sukan sejak zaman persekolahan.
SITI AAFIYAH WARISI MINAT IBU, KE MANA TUMPAHNYA KUAH KALAU TIDAK KE NASI

Dalam perkongsian terbaharu di laman Instagram Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, beliau berkongsikan perkembangan berharga bagi seorang ibu menerusi penyertaan aktif Aafiyah dalam acara sukan sekolah baru-baru ini, di mana Aafiyah mengambil bahagian dalam dua acara larian.
Minatnya terhadap dunia olahraga dilihat sebagai cerminan semangat ibunya, yang juga aktif bersukan sejak kecil. Dalam kapsyen video di Instagram tersebut, Siti meluahkan rasa bangga terhadap anaknya yang berani mencabar diri demi memberikan yang terbaik.
“Hari sukan sekolah Aafiyah, pengalaman berharga untuk anak ibu. Cabar diri untuk berikan yang terbaik. Ibu dulu nikmati setiap pengalaman indah ini. Menang dan kalah itu biasa, tapi paling ibu suka bila ibu cabar diri dan habiskan setiap larian. Good job, Aafiyah,” tulis Siti.
Sewaktu zaman persekolahan, Biduanita Negara itu dikenali sebagai pelajar yang aktif dalam sukan, khususnya bola jaring. Beliau juga pernah menjadi pembawa obor api bersama pelakon Fasha Sandha dalam acara Fiesta Media Idola 2006 yang berlangsung di Kuantan.
Selain mempunyai impian untuk menjadi seorang anggota polis suatu ketika dahulu, Siti kini masih mengekalkan gaya hidup sihat dan aktif. Beliau sering berkongsi rutin kecergasan di media sosial termasuk aktiviti seperti bersenam di gimnasium, berbasikal dan bermain badminton.
Walaupun Aafiyah tidak memenangi acara sukan tersebut, Siti tetap berbangga dengan semangat daya saing yang ditunjukkan oleh anak sulungnya itu dan menganggap pengalaman itu amat berharga dalam proses pembesaran.
View this post on Instagram
Untuk rekod, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006. Pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata, Siti Aafiyah hasil daripada proses persenyawaan in vitro (IVF), dan seorang putera, Muhammad Afwa, yang dilahirkan pada April 2021.
*Tahniah Aafiyah!
Baca juga: [VIDEO] Hasilkan Potret Siti Nurhaliza Pula Guna Rubik Cube, Dah 1 Juta Tontonan!
Sumber: Instagram @ctdk
