Bila bercakap mengenai bidang melibatkan kapal terbang, ramai dalam kalangan kita hanya terbayangkan tugas seperti pramugara, pramugari dan juruterbang. Namun, sebelum kapal terbang ini mendapat ‘green light’ untuk diterbangkan oleh juruterbang, semuanya adalah di tangan seorang Aircraft Engineer atau Jurutera Pesawat!
Dalam segmen Salam Perantauan edisi kerjaya kali ini, Sirap Limau dapat berbicara dengan lebih dekat bersama seorang jurutera pesawat dari Asia Digital Engineering (ADE) tentang pengalamannya.
Baca juga: Indahnya Berbuka Puasa Di Jeddah, Pilot Kongsi Pengalaman Berpuasa Selama 18 Jam!
TUGAS AIRCRAFT ENGINEER BUKAN CALANG-CALANG, KALAU TAK.. PESAWAT TAK BOLEH TERBANG!

Niall Adam berada di kiri (hujung) bersama barisan tertinggi ADE & Air Asia.
Salah seorang tulang belakang yang memastikan pesawat boleh beroperasi dengan selamat adalah Niall Adam bin Md Abdul Rahim, seorang Jurutera Penyenggaraan Pesawat Berlesen, yang telah menempuh perjalanan kerjaya yang penuh cabaran dan pengalaman dalam industri penerbangan.
Berusia 32 tahun dan mempunyai darah kacukan Inggeris di sebelah ibunya, dia kini bertugas sebagai jurutera penyenggaraan di Asia Digital Engineering (ADE), sebuah syarikat penyenggaraan pesawat yang terkemuka dan menyelenggara pesawat dari Air Asia. Dengan pengalaman hampir sembilan tahun dalam bidang ini, dia telah mengukuhkan kepakarannya, khususnya dalam penyenggaraan pesawat Airbus A320 yang bukan semua orang boleh dapat peluang!
Bercerita tentang minatnya dengan kapal terbang sejak dari kecil lagi, Niall turut memberitahu bahawa dia turut suka melakukan berminat kerja teknikal on the ground ataupun hands on work. Maka, berada dalam bidang penerbangan yang sesuai sudah semestinya adalah aircraft maintanance.

Foto: Niall Adam sedang lakukan tugas seharian sebagai seorang jurutera kapal terbang.
Niall memulakan langkahnya dalam dunia penerbangan dengan menuntut ilmu di Aeroprecision Resources Aviation Training Centre (APR-ATC). Selepas menamatkan pengajian dan memperoleh lesen sebagai jurutera penyenggaraan pesawat, dia memulakan kerjayanya dalam sektor penyenggaraan pesawat komersial. Sepanjang hampir tiga tahun di ADE, dia telah menjadi sebahagian daripada pasukan Base Maintenance Services, di mana tugas utamanya adalah melakukan dan menyelia kerja-kerja penyenggaraan berkala serta kerja-kerja baik pulih yang tidak dijadualkan.
Sudah semestinya tugas ini memberikan cabaran yang tinggi kepada dirinya serta rakan-rakan seperjuangan kerana memastikan keselamatan dan kesediaan operasi pesawat supaya siap sedia tepat pada waktunya bukanlah mudah seperti yang dilihat. Tiada kesalahan yang boleh dilakukan walaupun sekecil kuman kerana ini akan melibatkan nyawa dan keselamatan orang ramai kelak.
RAMADAN JADI PENGERAT SILATURRAHIM BERSAMA RAKAN SEKERJA

Foto: Bersama pasukan kerja ADE.
Menyentuh mengenai jadual waktu kerja dalam bulan Ramadan, Niall mengatakan bahawa jadual waktu kerjanya adalah seperti biasa, cuma lebih awal dari bulan biasa. Hal ini kerana, dalam musim perayaan Aidilfitri ini sudah semestinya pesawat yang perlu diperiksa adalah lebih banyak dari kebiasaan jadi dia akan memastikan diri mempunyai tenaga yang cukup semasa melakukan kerja-kerja berat seharian.
“Sahur memainkan peranan yang penting, pastikan sahur dengan makanan yang bernutrisi dan minum air banyak-banyak,” menurut Niall.
Namun, penat lelah seharian bekerja ini menjadi penambah momen manis apabila turut dapat meluangkan masa berbuka puasa bersama rakan-rakan sekerja. Inilah masanya mereka bergelak ketawa dan berkongsi cerita tentang aktiviti seharian mengendalikan pesawat.
Dengan pengalaman, dedikasi, dan semangat dalam bidang penyenggaraan pesawat, Niall terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kecekapan operasi penerbangan, selari dengan perkembangan industri penerbangan yang semakin maju.
Tidak ketinggalan, dia turut berkongsikan ‘jalan’ untuk mak ayah didik anak yang mempunyai impian dalam bidang ini di dalam video di bawah. Terima kasih kerana berkongsi bersama Sirap Limau!
View this post on Instagram
Baca juga: Top 7 Kerjaya Paling Dapat Permintaan Tinggi Di Malaysia, Bidang Anda Tersenarai Tak?
*Amaran: Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman website yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.
