Euforia Bola 2026
Asuh

Anak Kena Usik Kasar Dengan Murid Lain Di Sekolah, Ibu Kongsi Tindakan Pantas & Matang ‘Report’ Pada Cikgu

buli di sekolah

Bagaimana jika anak anda mengadu kena buli di sekolah? Apa tindakan pertama yang anda akan ambil? Adakah anda akan segera ‘turun padang’ atau memberi ruang kepada anak untuk belajar mempertahankan dirinya?

Inilah dilema yang ibu bapa hadapi apabila anak-anak mula berdepan dengan situasi ini di sekolah seperti ibu bernama Nor Zabetha yang berkongsikan kes anaknya di Tahun Satu.

Baca juga: “Siti Gemuk, Siti Hitam!”- Murid Tahun 1 Dibuli & Dapat Lukisan Tak Senonoh, Tak Mahu Pergi Sekolah!

ANAK KENA BULI DI SEKOLAH, IBU KONGSI CARA NAK AJAR ANAK POSITIF & PERTAHAN DIRI

buli di sekolah

Foto hiasan.

Setiap ibu bapa pasti menginginkan persekitaran yang selamat dan harmoni untuk anak-anak mereka, terutama sekali ketika mereka memulakan alam persekolahan. Namun, tidak semua pengalaman di sekolah manis dan menggembirakan. Ada ketikanya, anak-anak terpaksa berhadapan dengan cabaran yang menguji daya tahan mental dan emosi mereka, termasuk isu pembulian.

Seperti kisah yang dikongsikan Puan Zabetha ketika anaknya memasuki minggu kedua di Tahun 1, dia mula mengadu tentang seorang pelajar lelaki yang sering mengusik rambutnya berulang kali sewaktu perhimpunan dan memberitahu gurunya mengenai kejadian itu. Namun, selang seminggu, pelajar yang sama bertindak lebih agresif dengan memukul tangannya, menyebabkan dia tidak selesa dan mula bercerita lebih lanjut mengenai pelajar tersebut.

“Sekolah best, tapi lebih best kalau budak ini tiada,” katanya dengan nada kecewa. Dia juga memerhatikan bahawa pelajar itu sering bersikap kasar terhadap rakan-rakan yang lain.

Sebagai ibu, pada awalnya cuba berfikiran positif. Mungkin budak lelaki itu sekadar bergurau dengan cara yang kasar. Mungkin anaknya yang tersalah tafsir tingkah lakunya sebagai pembulian. Namun, apabila kejadian semakin berulang, ibu ini bertanya kepada anaknya, “Awak nak Mommy tolong handle situasi ini atau awak nak uruskan sendiri?”

Jawapannya cukup matang untuk usianya. “Tak apa Mommy, saya handle. Kalau saya tak boleh, saya minta tolong Mommy. Tapi hari-hari Mommy kena tanya saya, saya kena buli ke tak?” katanya dengan penuh keyakinan. Oleh itu, ibu ini pun memberi kepercayaan kepadanya untuk mencuba menangani masalah ini sendiri, sebagai satu pelajaran kehidupan.

Namun, keadaan tidak bertambah baik. Suatu hari, anaknya menceritakan bahawa pelajar itu telah menolaknya sehingga hampir jatuh. Lalu, ibu ini berkongsikan tentang kenangan lamanya bersama adik perempuan sendiri yang pernah mengalami insiden serupa ketika di Tahun 2, menyebabkan kecederaan serius sehingga terpaksa menerima jahitan di kening. Lantas ibu ini sedar, jika dibiarkan, pembuli seperti ini akan terus bertindak sesuka hati.

“MOMMY, TOLONG SAYA…”

buli di sekolah

Foto hiasan.

Ketika anak akhirnya berkata, “Mommy, I can’t handle him anymore. Mommy tolong saya,” si ibu tahu sudah tiba masanya untuk campur tangan. Dia segera menghubungi pihak sekolah dengan menghantar emel rasmi kepada guru kelas dan dalam emel tersebut, dia menghuraikan setiap insiden yang berlaku dan menyatakan kebimbangan. Namun tetap meletakkan kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menangani situasi ini dengan pengalaman dan kepakaran mereka.

Ibu ini turut menunjukkan emel itu kepada anaknya sebelum dihantar kerana mahu dia belajar bahawa setiap tindakan perlu dilakukan dengan langkah yang betul dan sistematik. Dia membaca dan mengangguk tanda setuju. Tidak lama selepas itu, guru kelas anaknya memberikan maklum balas pantas. Pihak sekolah segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menghubungi ibu bapa pelajar tersebut.

Ayat akhir dalam emel daripada guru tersebut benar-benar mengukuhkan keyakinan si ibu dengan berkata,

“Terima kasih atas kerjasama dan kepercayaan Puan kepada pihak sekolah dalam menangani perkara ini.”

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh sentiasa melindungi anak-anak daripada semua cabaran kehidupan. Namun, kita boleh membimbing mereka supaya dapat menangani masalah dengan bijak dan berhemah. Memberikan contoh terbaik dan mengajar mereka untuk berkomunikasi serta bertindak dengan cara yang betul adalah lebih bermakna daripada sekadar menggunakan kuasa untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Kini, setiap hari Puan Zabetha tetap bertanya kepada anaknya sama ada dia masih dibuli. Alhamdulillah, keadaan bertambah baik namun, sekiranya masih ada masalah, ibu ini bersedia untuk mencari solusi terbaik, kerana sebagai ibu, dia akan sentiasa berada di sisi anak untuk membimbingnya ke jalan yang betul.

*Mungkin ini boleh dijadikan contoh untuk ibu bapa lain sekiranya anak berhadapan situasi yang sama. Jangan ambil remeh ya!

Baca juga: 6 Kaedah Buli Ini Paling Popular Berlaku Di Sekolah Asrama, Yang Akhir Sekali Paling Kejam!

Sumber: Nor Zabetha

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×