Ada dalam kalangan wanita akan mengambil ubat penahan haid, sama ada dalam bentuk pil ataupun suntikan untuk memastikan mereka dapat berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Namun, apakah hukum pada wanita yang menggunakan ubat ini bagi menghalang datangnya haid supaya dapat berpuasa sebulan Ramadan? Ikuti penjelasan lanjut dari bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui portal Maktabah al-Bakri.
Baca juga: Sengaja Batal Puasa Dengan Makan Semata-Mata Nak Berjimak, Kena Bayar Kaffarah Ke?
HUKUM AMBIL UBAT PENAHAN HAID UNTUK BERPUASA
Dalam Sunan Sa’id bin Mansur, disebut, “bahawa Ibn ‘Umar ditanya tentang wanita yang minum ubat untuk menghentikan haidnya untuk dia nafar, maka beliau berpendapat tidak mengapa dalam hal itu.”
Ma’mar Rahimahullah berkata, “aku mendengar Ibn Abi Najih ditanya tentang hal itu, maka menurutnya, hal itu tidak ada masalah.”
Penggunaan pil pencegah haid bagi kaum wanita adalah termasuk di dalam perkara-perkara keduniaan. Bahkan, perkara tersebut membantu dan memudahkan lagi mereka dalam menyempurnakan beberapa ibadah seperti ibadah haji dan puasa.
Dalam aspek hal-hal keduniaan, prinsip asasnya ialah hukum asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini, bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:
“Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60.
Baca juga: Bapa Kongsi 12 Tips Berbuka Puasa Di Masjid, Penting Untuk Individu Yang ‘1st Time’ Nak Merasa!
Selain itu, penggunaan pil itu juga dilihat bertepatan dengan seruan agama yang menginginkan kemudahan kepada penganut-penganutnya, agar dapat menyempurnakan ibadah mereka. Firman Allah SWT:
“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” Surah al-Baqarah (185)
Walau bagaimanapun, sekiranya terbukti dari sudut perubatan bahawa penggunaan pil-pil seumpama ini akan memudaratkan penggunanya baik dari sudut jangka masa pendek atau panjang, maka hukumnya berubah daripada harus kepada haram. Hal ini adalah berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW:
“Tidak ada mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.” Riwayat Ibn Majah (2341)
Baca juga: Agar Tak Timbul Rasa Waswas, UAI Jelaskan Hukum Bayar Zakat Fitrah Secara ‘Online’!
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, diharuskan bagi seseorang wanita untuk mengambil pil penahan haid bagi membolehkannya berpuasa penuh di bulan Ramadhan.
Dengan syarat, pengambilan pil tersebut tidak memberi sebarang mudarat kepadanya dan mendapat keizinan daripada suami jika dia sudah berkahwin.
Meskipun begitu, wanita tersebut hendaklah mendapatkan nasihat pakar perubatan terlebih dahulu sebelum menggunakannya.
Walau bagaimanapun, mengikut sunnatullah dengan tidak mengambil pil dan mengikut sifat kejadian semula jadinya dari segi kitaran haid adalah lebih baik.
Baca juga: Hukum Melakukan Onani (Melan***) Di Siang Hari Ramadan, Boleh Terbatal Puasa Ke?
Sumber: Maktabah al-Bakri
FT Image: Dimitri Otis/Stone via Getty Images

