Di bulan Ramadan, selain berpeluang menikmati pelbagai juadah istimewa di bazar, ada juga peniaga yang mencari keberkatan dengan cara unik. Hal ini sama seperti dilakukan seorang peniaga apam balik yang meminta pembeli untuk sambung ayat al quran yang dibaca dan akan mendapat makanan tersebut secara percuma.
Inisiatif ini bukan sahaja mampu mencetuskan suasana lebih bermakna di bazar Ramadan malah menggalakkan orang ramai untuk menghafal dan memahami ayat suci al-Quran.
Baca juga: Hidup Lebih Bermakna Bila Tahu ‘Rahsia’ Di Sebalik Satu Jam Selepas Subuh, Jom Amalkan!
SAMBUNG AYAT AL QURAN DAPAT FREE APAM BALIK, WOW

Menerusi perkongsian di laman TikTok @kuhotputrajaya, dapat dilihat beberapa rakaman video dimuat naik yang memaparkan gelagat pelanggannya ketika sambung bacaan ayat al Quran yang dibacanya sewaktu membeli di gerai apam balik.
Jelasnya, tidak semua orang berani menyahut cabaran ini, namun tindakan dua orang budak lelaki yang berani menyambung ayat al-Quran tersebut telah menarik perhatian warganet.
“Alhamdulillah tahniah adik-adik yang berani. Ramadan ke-6 kami terima 2 orang yang berani menyahut cabaran #sambungayatalquranpercumaapambalik. Jom temui kami di bazar Ramadan presint 3,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tindakan berani kedua-dua adik itu pastinya membuatkan ramai yang memuji selain turut berharap agar dikurniakan cahaya mata hebat seperti mereka.
“Hebat bang tapi lagi hebat kedua-dua adik kita ini. Kental dan yakin dengan bacaan mereka. Alhamdulillah teruskan usaha ini bang. Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan.
“SubhanaAllah memang mantap abang ni punya tindakan. Sambil meniaga, sambil sedekah. Teruskan!” komen pengguna TikTok.
Baca juga: “Sebak Pula Tengok”- Adik Darjah 2 Penat Berpuasa Sampai Terbaring Tunggu Ayah Raih Pujian!
Sumber: TikTok Kuhot Putrajaya
