Tindakan spontan Pengerusi MARA, Dr Asyraf Wajdi Dusuki ‘menebuk’ bacaan ayat al Quran pelajar MARA di New Zealand menceriakan suasana ketika lawatan dilakukan.
Dalam perkongsian tersebut, Dr Asyraf menceritakan momen beliau bertemu pelajar-pelajar MARA di University of Canterbury.
Baca juga: Amyza Aznan Sekali Lagi Diuji, Kini Anak Kedua Pula Disahkan Hidap Kanser Tulang…
TEBUK BACAAN AYAT AL QURAN PELAJAR MARA DI NEW ZEALAND

Dalam suasana santai itu, beliau mencabar pelajar untuk memperdengarkan bacaan al-Quran secara spontan. Alhamdulillah, ada yang tampil secara sukarela dan membuktikan bacaan mereka masih lancar walaupun berada jauh di perantauan.
Lawatan itu bukan sekadar sesi ramah mesra keran Dr Asyraf turut mengambil kesempatan untuk ‘terjah’ rumah sewa pelajar-pelajar MARA di New Zealand.
Beliau ingin melihat sendiri keadaan tempat tinggal mereka daripada aspek keselesaan kediaman, suasana pembelajaran sehinggalah kebajikan harian. Lawatan secara mengejut itu menjadi simbol keprihatinan terhadap kebajikan pelajar tajaan MARA di luar negara.
“Yang paling menyentuh hati, bukan sahaja mereka cemerlang dalam akademik, tetapi tetap kukuh jati diri dan pegangan agama walaupun jauh beribu batu dari tanah air. Jauh di perantauan bukan alasan untuk lupa akar dan tunjang asal usul. Malah di sinilah identiti sebenar diuji,“ ujarnya.

Dalam perkongsian sama, beliau turut mengingatkan bahawa pelajar MARA di luar negara bukan hanya membawa nama diri sendiri, malah memikul tanggungjawab sebagai duta kecil Malaysia.
Mereka adalah wajah negara di mata dunia. Kejayaan sebenar bukan hanya diukur dengan segulung ijazah, tetapi dengan ilmu yang bermanfaat, akhlak yang terpuji serta jati diri yang kukuh untuk kembali membina agama, bangsa dan tanah air.
Dr Asyraf turut memberi jaminan bahawa MARA akan terus memastikan kebajikan serta pembangunan sahsiah pelajar sentiasa diberi perhatian.
“InsyaAllah, MARA akan terus memastikan kebajikan dan pembangunan sahsiah mereka sentiasa diberi perhatian. MARA amat bangga dengan kalian, semoga kalian menjadi kebanggaan ibu bapa, MARA dan rakyat Malaysia,” luahnya.
Perkongsian itu menerima reaksi positif warganet yang tersentuh melihat kesungguhan pimpinan turun padang dan memastikan anak-anak Malaysia di luar negara terus dibimbing bukan sahaja dari sudut akademik, malah rohani dan sahsiah diri.
Baca juga: Manfaat Amalkan ‘Bismillah Lima’ Setiap Hari, Biar Bibir Sentiasa Basah Dengan Ayat Suci Ini
Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
