Euforia Bola 2026
Nur

‘Jalan’ Syurga Terbuka Luas, Ini Ganjaran Untuk Ibu Bapa Kematian Anak Kecil & Belum Baligh

kematian anak kecil

Sememangnya kisah yang membabitkan kematian anak kecil akan mengundang rasa sedih buat sesiapa sahaja terutama ibu bapa kepada anak tersebut. Namun, bagi mengubat kesedihan yang berat ini, tahukah anda bahawa terdapat nas yang menyatakan ganjaran buat mereka yang kematian anak kecil?

Perkara itu diakui oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis, Prof Dr Rozaimi Ramle sebagaimana dikongsikan dalam laman Facebooknya.

Baca juga: Hentikan ‘Trend’ Sambut Hari Lahir Di Kubur Anak, Patutnya Ziarah & Sedekah Doa..

IBU BAPA BERDEPAN DENGAN KEMATIAN ANAK KECIL, ‘LALUAN’ KE SYURGA

kematian anak kecil

Foto Sinar Harian: Pengebumian anak bongsu Ayu Raudhah & Zaquan Adha.

Dr.Rozaimi turut mengemukakan beberapa hadis sahih yang memerihalkan tentang ganjaran yang disebut berkenaan.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada wanita Ansar: “Tidaklah mati tiga orang anak kepada salah seorang kalian, lalu si ibu itu menyerahkan hal itu kepada ALLAH melainkan wanita itu akan masuk syurga. Seorang wanita daripada mereka bertanya: “Bagaimana jika dua orang, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Atau jika dua orang (si ibu tetap mendapat kelebihan itu).” (Sahih Muslim)

Menerusi satu riwayat lain daripada Sahih al-Bukhari, disebutkan bahawa ia merujuk kepada anak yang belum baligh.

Dalam sebuah hadis lain, Abu Hassan berkata: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah RA: Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah SAW yang akan melegakan diri kami di atas kematian dua anak kami?”

Abu Hurairah RA menjawab: “Ya, kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga ALLAH memasukkannya dan ayahnya ke dalam syurga.” (Sahih Muslim)

Bukan itu sahaja, Imam an-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab juga menyatakan, seorang anak yang meninggal dunia akan menjadi penghalang daripada api neraka, begitu juga anak yang keguguran.

Jelas Dr Rozaimi, kebanyakan hadis yang sahih hanya menyebutkan perihal anak kecil belum baligh yang meninggal dunia.

“Sebahagian ulama menyatakan, bayi yang keguguran juga termasuk dalam hal ini. Adapun hadis yang secara spesifik menyatakan tentang bayi keguguran adalah hadis yang lemah,” katanya.

Jadi, bagi mereka yang diuji dengan kematian anak kecil, bersabarlah dengan ketentuan-Nya. Walaupun sedih, tetapi sifat sabar yang indah yang akan memberi ketenteraman kepada diri anda. Yakinlah, anda akan bertemu semula dengan si kecil ini di syurga yang abadi kelak…

Baca juga: Anak Bongsu Ayu Raudhah & Zaquan Adha Usia 6 Bulan Meninggal Dunia

Sumber: Foto Sinar Harian, Dr.Rozaimi Ramlee, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×