Euforia Bola 2026
Asuh

Akibat Terlanggar ‘Mirror Maze’ Di Taman Awam, Budak 7 Tahun Cedera Parah & Terima 12 Jahitan!

cedera parah

Akibat terlanggar cermin kaca di sebuah taman awam sekitar Pengerang, Johor,  seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menerima 12 jahitan selepas mengalami cedera parah.

Suri rumah, Nurul Shazrina Roslee, 38, berkata, detik cemas yang menimpa anak sulungnya berlaku ketika mereka sekeluarga mengunjungi taman awam tersebut sekitar jam 9.30 malam untuk menyaksikan tarikan baharu di sana.

Baca juga: 3 Beradik Bangsa Cina Teruja Ikut Berkhatan & Sanggup Bangun 5 Pagi Nak Ikut Rakan Lain!

CEDERA PARAH TERLANGGAR ‘MIRROR MAZE’

cedera parah

Gambar Sinar Harian: Antara kecederaan yang terpaksa ditanggung akibat ‘mirror maze’.

Setibanya di lokasi kejadian, Nurul Shazrina menemui ‘mirror maze’ berbentuk bulatan dengan lampu-lampu di sepanjang cermin yang menyebabkan keadaan menjadi keliru akibat pantulan kaca pada waktu malam.

“Pada mulanya, kami menyangka permukaan cermin itu akrilik, bukannya kaca yang boleh membahayakan pengunjung.

“Ketika sedang memegang dua anak kecil, saya melihat si sulung sudah berjalan ke depan sebelum terdengar bunyi hempasan kaca yang sangat kuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebaik berlari ke arah bunyi tersebut, Nurul Shazrina terkejut mendapati anaknya sudah dalam keadaan berlumuran darah.

Baca juga: Amatullah Hamidah Si Cilik 7 Tahun Dari Terengganu, JUARA DUNIA Pertandingan Pidato Inggeris!

Mangsa terima 12 jahitan & fisioterapi untuk jari kanan yang menulis

“Kami segera membawa dia ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan awal. Anak saya memerlukan 12 jahitan di bahagian dahi, hidung, jari kanan, dan pergelangan tangan kiri akibat luka yang teruk.

“Setelah menjalani pemeriksaan X-ray dan membuka balutan, darah masih keluar sehingga kami terpaksa membawa dia ke hospital KPJ untuk rawatan lanjut. Walaupun tiada keretakan di kepala, serpihan kaca ditemui di dalam hidungnya,” jelasnya.

Tambahnya, keadaan anak itu semakin pulih tetapi dia mempunyai parut yang kekal untuk jangka masa panjang.

“Selain itu, jari kanan anak saya yang digunakan untuk menulis memerlukan rawatan fisioterapi berterusan,” kata beliau.

Baca juga: Tips Beli Kalkulator Untuk Anak Sekolah, Salah Satu Model CASIO Ini Paling Bagus Tunjuk Jalan Kira!

Ibu bapa mangsa mengakui khilaf dan buat aduan kepada Majlis Perbandaran Pangerang

Nurul Shazrina turut berkongsi pengajaran daripada insiden tersebut dan mengakui khilaf daripada pihak ibu bapa.

“Kadang kala, ada perkara yang tidak dapat dikawal. Sebagai ibu bapa, saya sedar kita perlu sentiasa memantau anak-anak bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.

“Saya bagaimanapun berpandangan cermin kaca tidak sesuai atau munasabah diletakkan di taman awam atas faktor keselamatan,” ujarnya.

Sebagai langkah susulan, Nurul Shazrina sudah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Pengerang dan pihak berkuasa telah menutup kawasan tersebut sehari selepas kejadian.

“Tujuan aduan ini dibuat adalah demi meningkatkan kesedaran dan bukan untuk menyaman mana-mana pihak,” katanya.

Baca juga: Bapa Tak Sangka Anak Kerap Menggaru Rupanya Alahan Kuda & Berkongsi Cara Nak Buat Ujian Alergi Pada Anak

Sumber: Sinar Harian

FT Image: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×