Euforia Bola 2026
Sihat

Seks Sejenis Kini Punca UTAMA Jangkitan HIV Di Malaysia, Tidak Lagi Datang Dari Dadah…

jangkitan hiv

Kalau dilihat semula pada 20 tahun yang lalu, sebahagian besar daripada kes jangkitan HIV di Malaysia adalah disebabkan perkongsian jarum suntikan dadah. Namun, adalah sangat mengejutkan kerana ‘trend’ itu sudah berubah apabila jangkitan HIV melalui hubungan seks sejenis menjadi punca utama!

Mungkin selama ini anda merasakan bahawa punca sebegini berlaku di negara Barat sahaja bukan? Tidak lagi, kerana kini negara kita pun sudah terjebak.

Baca juga: Pakar Saran Suami Makan Kacang Supaya Sperma ‘Padu & Melimpah’, Barulah Proses TTC Berjaya!

KINI JANGKITAN HIV BERPUNCA DARI HUBUNGAN SEJENIS, BUKAN DADAH

jangkitan hiv

Foto: Freepik

Berdasarkan statistik jangkitan HIV yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 135,035 kes direkodkan bagi tempoh 1986 hingga 2023. Daripada jumlah itu, 3,220 kes baharu jangkitan HIV direkodkan di seluruh negara pada 2023 dengan 95 peratus adalah menerusi transmisi seksual, manakala tiga peratus lagi membabitkan penagihan dadah dan dua peratus pula lain-lain faktor.

Kategori umur antara 20 hingga 29 tahun merekodkan jumlah tertinggi jangkitan baharu HIV iaitu sebanyak 44 peratus daripada jumlah berkenaan.

Menurut laporan Harian Metro yang menemubual Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF), Dr Zaiton Yahaya berkata, statistik dikeluarkan KKM juga mendapati 62 peratus transmisi seksual berlaku dalam kalangan jantina sejenis, manakala 33 peratus lagi dalam kalangan heteroseksual.

“Berdasarkan statistik itu juga, kita dapati hampir 10 peratus daripada jangkitan baharu HIV berlaku dalam kalangan wanita yang mungkin dijangkiti melalui pasangan mereka.

“Amalan seks tidak selamat dan kurang pengetahuan mengenai risiko jangkitan adalah punca kepada peningkatan jangkitan HIV melalui seks.

“Mana-mana individu terbabit dalam perlakuan seksual berisiko tinggi yang mengabaikan langkah proaktif boleh mengakibatkan mereka dijangkiti HIV,” katanya.

Dr Zaiton berkata, sikap negatif terhadap HIV dan Aids serta stigma terhadap cara jangkitannya dalam kalangan masyarakat menyebabkan penularan penyakit itu semakin meningkat. Hal ini kerana, ramai dalam golongan berisiko ini takut untuk tampil membuat ujian saringan HIV.

Disebabkan itu, adalah penting bagi masyarakat bersikap terbuka untuk memahami secara tulus cara jangkitan dan cara pencegahan penyakit HIV dan Aids.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyampaikan maklumat kepada mereka dan memberi kesedaran mengenai cara jangkitan dan pencegahan untuk mengelakkan daripada dijangkiti,” katanya.

NAK KURANGKAN IMPAK NEGATIF KEPADA MASYARAKAT

jangkitan hiv

Foto: Freepik

Beliau berkata, MAC dan MAF bergerak seiring dengan KKM untuk menjalankan pelbagai inisiatif bagi menangani penularan epidemik HIV dan mengurangkan impak negatif kepada masyarakat.

Katanya, antara inisiatif dilaksanakan adalah Program Test Now iaitu program ujian HIV kendiri yang ditawarkan secara dalam talian untuk memberi peluang kepada individu berisiko membuat saringan supaya dapat mengetahui status serta rawatan awal yang boleh menyelamatkan nyawa mereka.

Selain itu, terdapat program Differentiated HIV Services for Key Population (DHSKP) yang diusahakan oleh KKM di fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara. Program ini diperkenalkan bagi memudahkan mereka yang berisiko tinggi membuat saringan, mendapatkan perkhidmatan pencegahan, rawatan dan kaunseling.

“Melalui kerjasama erat antara KKM, MAC dan MAF, perkhidmatan ditawarkan di bawah program DHSKP boleh diakses melalui fasiliti kesihatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai MAC,” katanya.

Menurutnya, MAC dan MAF juga mengambil inisiatif berganding dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melaksanakan projek berkaitan kesihatan seksual dan HIV yang mensasarkan pelajar di universiti awam. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mendiskriminasi individu menghidap HIV dan Aids memandangkan mereka juga perlu diberi peluang seperti orang lain.

Jangan risau, penyakit ini tidak boleh dijangkiti melalui sentuhan biasa seperti berjabat tangan, berkongsi makanan atau berada dalam persekitaran yang sama dengan pesakit HIV.

Baca juga: Nilai Mas Kahwin Mengikut Negeri, Rupanya Mas Kahwin Janda & Anak Dara Ada Sedikit Beza!

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×