Sudah menjadi lumrah dalam setiap hubungan antara orang luar atau rakan-rakan sendiri pasti ada yang tidak kena. Tidak ketinggalan, dalam kalangan ahli keluarga sendiri pun pasti ada kisah pahit kerana ada ahli keluarga toksik!
Seperti perkongsian di laman media sosial Threads ini, seorang wanita bernama Iza (bukan nama sebenar), dia terpaksa berdepan dengan dua biras, Fifi dan Didi (bukan nama sebenar) yang didakwa sangat toksik dan penuh hasad dengki terhadap dirinya sehingga dilabel ‘biras dari neraka’.
Baca juga: Wanita Bersalin Kembar Tiga Terkejut, Mak Mentua Minta Serah Anak Seorang Dekat Kakak Ipar
KELUARGA TOKSIK, BIRAS SUKA ‘MELAWAN’!

Segalanya bermula apabila abang kedua kepada suaminya kurang bersetuju adiknya berkahwin pada umur 21 tahun yang dianggap masih terlalu muda untuk bergelar suami. Menurut wanita itu, suaminya merupakan anak ketiga dalam lima adik beradik yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan tetapi tidak rapat dengan dua abangnya kerana perbezaan umur yang agak jauh.
“Abang ipar aku tak suka suami aku berkahwin pada usia muda. Katanya, kahwin muda ini nanti mudah bercerai, hidup tidak enjoy,” katanya memulakan perkongsian di Threads.
Sepanjang perkahwinan, bermacam dugaan perlu dihadapi Iza didakwa berpunca daripada dua birasnya yang dianggap cemburu dan kurang senang dengan kehadirannya sebagai menantu baharu dalam keluarga. Bukan sahaja tersisih dari banyak perkara, namun Iza juga dapat merasakan salah seorang birasnya, Fifi seolah-olah cuba melaga-lagakan dirinya dengan Didi apabila dia sering memburukkan wanita itu di depannya dan begitulah sebaliknya.
“Sedikit demi sedikit, Fifi mula ceritakan keburukan Didi dan suaminya kepada aku, termasuk suami Didi tidak suka aku sebab punca suami aku berkahwin awal.
“Bila dengan Didi, Fifi pula ceritakan perkara buruk pasal aku. Dia kata kat Didi, aku ni cemburu dengan Didi sebab semua orang sayang Didi tu. Didi tu anak tunggal, mak mentua sayanglah dekat dia. So Fifi cuba nak api-apikan aku,” ceritanya lagi.
Menurut Iza, Didi sudah dikurniakan seorang anak lelaki tetapi Fifi masih belum direzekikan dengan cahaya mata. Anak Didi sering dimanjakan dan selalu mendapat perhatian dalam kalangan ahli keluarga termasuklah daripada ibu mentuanya. Bagaimanapun, sikap buruk Didi bagai tidak dapat disembunyikan lagi apabila Iza hamil anak pertama dan lebih membuatkan dia gelabah apabila mengetahui bayi yang bakal lahir adalah perempuan.
“Tambah buat si Didi tu tak keruan bila aku beritahu family suami aku yang aku pregnant anak perempuan. Sebabnya family suami aku ni banyak lelaki… empat lelaki, seorang perempuan.”
Oleh kerana mak mentua memang nak sangat seorang cucu perempuan, dia pun akan mula jadi menantu kesayangan!
“Jadinya mak mentua aku memang nak sangat cucu perempuan. Didi ni tahu aku mengandung anak perempuan, dia banyak kali tanya ‘ye ke perempuan? Kawan akak scanned 5D dua kali doktor kata perempuan sekali keluar lelaki’.
“Sampai begitu ya ayat dia kasi kat aku punyalah tak nak aku mengandung anak perempuan,” katanya.
SIAP BERLAKON ADA ALAHAN SEBAB NAK MENTUA SAYANG…

Lebih kurang lima bulan selepas itu, Didi pula mengumumkan kehamilan anak keduanya. Bagi Iza, dia tidak mahu ambil kisah sikap birasnya itu, sama ada dia mahu bersaing atau sebaliknya lebih-lebih lagi dia mengalami alahan sangat teruk sepanjang mengandung sehingga tidak mampu menjamah makanan dan keluar, masuk hospital lebih 20 kali.
Keadaan dirinya berbeza dengan Didi sewaktu hamil anak pertama yang sering mengidam, berselera makan dan tidak mengalami alahan. Bagaimanapun, Didi turut alah apabila hamil anak kedua namun satu satu situasi di rumah ibu mentua membuatkan Iza musykil.
“Mak mentua tengah masak masa tu, aku auto pi bilik air muntah sampai lembik longlai pitam semua ada. Kemudian suami bawa pi klinik drip.
“Balik dari drip tu aku terbaring je dalam bilik, tetiba aku dengar dia pun muntah juga. Lepas muntah dia minta mentua aku masak sambal Jawa untuk dia, teringin katanya,” cerita Iza lagi.
Ketika ibu mentuanya keluar untuk membeli barang Iza terlihat Didi sedang memasak di dapur. Situasi tadi yang tengah muntah ternyata berbeza apabila mentua tiada di rumah. Rupa-rupanya tiada alahan!
Bagaimanapun, apa yang paling dikesali apabila ibu mentuanya menuduh dia ‘lembik’ apabila tidak mampu menjamah walau sedikit makanan dengan membandingkan dirinya dengan Didi.
“Mak mentua aku tegur ‘tengok ni Iza, elok je si Didi makan, kau kena makan paksa diri tu makan jangan lembik sangat, Didi pun alahan juga tapi dia paksa diri makan.
“Aku dengar ayat tu hancur berkecai hati. Bukan tak cuba makan. Aku cuba, bila makan muntah balik. Seksa perut aku, sakit ya amat. Aku pun tak minta alahan teruk macam tu,” kata Iza.
Selepas bersalin, Iza berkata suami menjaga baik dirinya ketika berpantang dan ibu mentua ada menjenguknya sekali. Dalam masa sama, Didi juga sibuk bertanya kepada mentua adakah benar dia memberi susu badan kepada bayi kerana anak pertamanya dulu diberikan susu formula.
Apa yang membuatkan Iza rimas apabila Didi banyak bertanya tentang perihal bayi dan berpantang sedangkan dia lebih berpengalaman. Berapa hari ambil cuti berpantang, baju bayi beli di mana, Baby Cot guna jenama apa dan ibarat semua benda nak ambil tahu untuk beli yang sama.
*Pening nak melayan!
Baca juga: Berjaya ‘Tawan’ Hati Puteri Raja, Ini Serba Sedikit Trivia Tentang FD Idzham FD Iskandar
Sumber: Mstar
