Kehilangan seorang ibu pada usia kecil adalah luka yang sukar diungkap dengan kata-kata. Itulah yang dilalui oleh Thalita anak Shuib Sepahtu bersama arwah penyanyi tersohor Siti Sarah Raisuddin, yang pergi menghadap Ilahi ketika Thalita baru berusia 8 tahun.
Tiada lagi pelukan yang menenangkan, tiada lagi wajah penyeri untuk bermanja. Namun, dalam kekosongan itu, Thalita menemui satu ruang yang membuatnya berasa dekat dengan arwah ibunya iaitu pentas seni.
THALITA ANAK SHUIB & ARWAH SITI SARAH JADI TUMPUAN DUNIA SENI, ADA TAK SETUJU?

Kini berusia 12 tahun, Thalita mula menunjukkan keberanian dan bakat yang diwarisi daripada ibunya. Suaranya yang merdu seolah-olah menjadi kesinambungan darah seni tiga generasi, manakala keyakinannya di atas pentas membuat ramai kagum.
Bagi Thalita, pentas bukan sekadar tempat berhibur, tetapi terapi kecil untuk mengubat rindu pada arwah ibunya. Dunia seni ini menjadi ruang yang mengisi kekosongan jiwa yang tidak mungkin dapat diganti. Malah, Thalita juga semakin mendapat nama apabila sudah menyertai sebuah program realiti televisyen baru-baru ini.
Munculnya Komen Toksik, “Tak Mengaji Ke?”
Namun, di sebalik senyuman di pentas, ada luka lain yang muncul. Ruangan komen di media sosial dipenuhi kata-kata pedih daripada orang dewasa yang sepatutnya menjadi penyokong, tetapi memilih untuk menghakimi.
“Kenapa tak mengaji?”
“Kenapa tak bertudung?”
“Kenapa beraksi di pentas?”
Kononnya menegur, hakikatnya itu adalah buli siber. Satu tamparan yang tidak sepatutnya diterima oleh seorang anak kecil yang masih belajar membina semula dirinya selepas kehilangan insan tersayang.
Namun, dalam perjalanan sukar ini, Thalita bertuah kerana mempunyai seorang ayah yang tabah, Shuib yang turut berada dalam dunia seni. Kehilangan isteri bukan mudah, apatah lagi bila perlu menggalas peranan sebagai ibu dan ayah serentak.
Shuib tidak pernah menghalang minat anaknya, malah menjadi benteng pertahanan yang memastikan Thalita terus berani melangkah. Dia tahu, seni adalah sebahagian daripada darah anaknya, sama seperti arwah ibunya. Baginya, biarlah anak itu meneroka minat, mencari diri, dan membina keyakinan tanpa diikat oleh suara-suara luar yang penuh prejudis.
Kita sering lupa bahawa setiap anak berhak untuk membesar dengan senyuman, berhak untuk mengejar mimpi, dan berhak untuk hidup tanpa dibuli. Jika benar kita peduli, tegurlah dengan hikmah, doakanlah dengan ikhlas, atau cukup sekadar memberi ruang.
Bayangkan jika ini anak kita sendiri. Mampukah kita melihat senyumannya diragut hanya kerana komen orang lain?

Latihan menyanyi sambil baring Shuib bersama Thalita.
*Siti Nurhaliza dan Shila Amzah juga bermula sejak usia kecil. Mereka tidak “rosak” seperti yang digembar-gemburkan oleh mulut-mulut toksik. Sebaliknya, mereka berjaya mengharumkan nama negara.
Sumber: IG @shuibsepahtu, Public Health Malaysia
