Buat pasangan suami isteri yang sukar mendapat cahaya mata, menjalani rawatan kesuburan yang sesuai adalah sangat penting dan perlu diteliti. Hal ini kerana, kos yang perlu ditanggung bagi setiap rawatan kesuburan adalah berbeza bergantung kepada tahap kesihatan anda.
Jadi, buat anda yang sedang tercari-cari keadah rawatan yang mana sesuai ikut kepada bajet, berikut merupakan antara 5 pilihan yang ada di Malaysia. Pastikan anda dapat konsultasi dari pakar terlebih dahulu!
Baca juga: 6 Raja Permaisuri Jelita Yang Menjadi Penyeri Istana & Idola Rakyat, Ini Pilihan Netizen..
5 JENIS RAWATAN KESUBURAN UNTUK WANITA DAN LELAKI

Kita mulakan dengan rawatan kesuburan dari harga mahal sehingga harga yang berpatutan…
1.Pembedahan tiub fallopian
Salah satu faktor utama apabila wanita sukar untuk hamil adalah kerana rembesan hormon dan waktu ovulasi yang tidak tetap, tiub fallopian yang tersumbat atau ketumbuhan tidak normal dalam rahim. Antara kaedah rawatan kesuburan yang boleh dilakukan adalah dengan kaedah pembedahan major iaitu laparotomy atau pembedahan kecil seperti endoscopy.
Proses laparotomy: Doktor akan membuat pembukaan pada bawah abdomen bagi melihat keadaan pelvis secara menyeluruh. Prosedur endoscopy: Dilakukan dengan kaedah laporoscopy iaitu dengan memasukkan teleskop kecil melalui dinding abdomen.
Prosedur hysteroscopy: Iaitu dengan cara memasukkan teleskop kecil melalui serviks. Kaedah pembedahan ini dapat merawat masalah kesuburan seperti endometrosis, pembentukan cyst serta tiub fallopian tersumbat.
Harga dikatakan bermula dari RM8,000 ke atas.
2.Rawatan Kesuburan Menggunakan Teknik IVF
Persenyawaan in-vitro atau lebih popular dengan terma IVF dilakukan dengan cara mensenyawakan sampel sperma dan telur di dalam makmal. Kemudian embrio yang terhasil akan dipindahkan dalam rahim wanita. Prosedur IVF ini dicadangkan oleh doktor sekiranya:
-Isteri mempunyai masalah pada tiub fallopian atau kitaran ovulasi
-Suami mempunyai masalah kekurangan sperma atau sperma yang tidak subur
Isteri akan diminta doktor supaya mengambil ubat kesuburan bagi mendapatkan beberapa telur. Kemudian, doktor akan memilih telur yang sihat untuk menjadi sampel melalui teknik ultrasound dan pembedahan kecil.
Si suami pula perlu menyediakan sampel sperma. Dalam peringkat ‘insemination’, telur dan sperma pasangan akan digabungkan dan disimpan di makmal untuk pemerhatian. Jika berjaya, gabungan tersebut akan bertukar menjadi embrio dan akan dipindahkan di dalam rahim isteri. Harga di hospital kerajaan bermula dari RM3,000 dan di hospital swasta bermula dari RM13,999.
3.Kaedah IUI
Teknik IUI atau Intra Uterine Insemination merupakan proses memindahkan sperma lelaki yang bergerak pantas terus ke dalam rahim wanita melalui satu tiub halus sewaktu ovulasi hampir berlaku.
Doktor akan mengesyorkan kaedah ini sekiranya:
-Wanita mempunyai ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan dan ovulasi yang normal
-Sekiranya lelaki mempunyai masalah mati pucuk atau ejakulasi pra-matang atau sperma yang tidak terlalu bermasalah.
Dalam kaedah ini, si isteri diberi preskrispsi ubat kesuburan untuk beberapa hari sebelum prosedur dilakukan. Suami pula perlu menyediakan sampel sperma semasa hari prosedur. Sperma yang sihat akan dipilih dan dipindahkan terus ke dalam rahim melalui tiub kecil. Kaedah ini dilihat mempunyai peratusan keberkesanan yang lebih tinggi pada pasangan yang lebih muda. Harga di hospital swasta bermula dari RM1,200.
4.Suntikan Hormon Kesuburan
Suntikan yang mengandungi dos Human Chorionic Gonadotropin (HCG) ini membantu pembentukan telur yang sihat dalam rahim wanita serta membantu pembebasan telur semasa peringkat ovulasi. Kaedah ini adalah alternatif perubatan lain sekiranya ubat clomiphene tidak berkesan bagi tubuh.
Selain pada wanita, ubat ini juga berkesan meningkatkan jumlah sperma pada lelaki dan meningkatkan peluang untuk isteri hamil. Namun, suntikan ini ada kesan sampingan pada badan seperti:
-Kemerahan pada bahagian suntikan
-Bengkak pada bahagian dada
-Sesetengah wanita yang mengamalkan kaedah ini juga mengalami ‘ovarian hyperstimulation syndrome’ (OHSS) terutamanya pada kitaran pertama penggunaan ubat ini. Jika simptom semakin serius seperti sakit perut, muntah dan cirit-birit, dapatkan nasihat doktor segera.
5.Ubat subur untuk hamil
Clomid, merupakan nama popular bagi ubat hormon ini. Ia merupakan cara paling berpatutan untuk membantu wanita membebaskan telur pada peringkat ovulasi di kitaran haid secara berkesan dengan peningkatan pada rembesan hormon FSH (follicle stimulating hormone) dan LH (luteinizing hormone).
Biasanya doktor akan mengsyorkan ubat ini sekiranya wanita tersebut mempunyai kitaran haid yang tidak normal dan pada pasangan yang mempunyai kesuburan normal tetapi si isteri masih belum berjaya untuk hamil.
Dalam kaedah ini, doktor akan mengesyorkan agar mengambil ubat pada hari ketiga haid untuk lima hari. Ovulasi akan berlaku selepas 7 hingga 8 hari rawatan Clomid. Doktor kemudiannya akan mengesahkan waktu ovulasi serta waktu terbaik untuk melakukan hubungan seksual dan disahkan dengan beberapa ujian seperti ujian darah, ujian suhu badan serta ultrasound.
Sepanjang pengambilan ubat, pesakit akan mengalami beberapa kesan sampingan seperti kembung perut, dan tidak selesa semasa melakukan hubungan intim. Harga dalam RM20 ke atas.

*Pilihan di tangan anda!
Baca juga: Sudah Disahkan Hamil Tapi Bila Scan Tak Nampak Janin, Ini 6 Sebab Untuk Elak Panik!
Sumber: PantangPlus, Hello Doktor
