Perosak rumah tangga atau digelar ‘penyondol’ yang mengganggu kebahagiaan orang lain boleh dikenakan denda oleh Mahkamah Syariah atau dipenjara.
Orang ketiga ini termasuklah ahli keluarga sendiri, kekasih atau bekas kekasih, rakan, jiran dan sebagainya. Gangguan ini boleh dilakukan dengan apa-apa cara sahaja.
Baca juga: Sekitar 2000-3000 Individu Di Selangor Dilaporkan Alami Gangguan Mental
PEROSAK RUMAH TANGGA ORANG BOLEH DIDENDA & DIPENJARA

Jika ‘penyondol’ disabitkan bersalah, dia boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah juga boleh memerintahkan lelaki atau perempuan itu supaya kembali kepada pangkuan isteri atau suaminya.
Menurut peguam syarie, Noorazmir Zakaria berkata, walaupun undang-undang syariah berbeza setiap negeri dari segi nama dan nombor seksyennya tetapi dari segi kesalahan syariah dan hukumannya boleh dikatakan 90% sama.
Seperti contoh, di Selangor ia dipanggil Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 manakala di Wilayah Persekutuan ia dipanggil Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 ini, individu yang mengganggu keharmonian rumah tangga orang lain boleh berdepan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Hukuman itu diperuntukkan di bawah tiga seksyen enakmen berkenaan membabitkan Seksyen 32 iaitu memujuk lari, membawa pergi atau mempengaruhi seorang perempuan yang telah bersuami supaya meninggalkan rumah tangganya.
Ia turut merangkumi Seksyen 33 iaitu menghalang pasangan yang sudah bernikah dengan sah dari hidup sebagai suami isteri dan Seksyen 34 iaitu menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan kepada pasangan atau keluarganya.
Beliau turut memberitahu bahawa kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan diperuntukkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman sama.
Walau bagaimanpun, setakat ini masih tiada lagi kes orang ketiga dan perosak rumah tangga di Malaysia yang didakwa ke Mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang.
*Sebelum nak kacau rumah tangga orang, fikir dulu ya. Semoga bermanfaat!
Baca juga: Opss…Lelaki Tunjuk 5 Tanda Ini Mungkin Pernah Bersetubuh, Hati-Hati Wahai Si Gadis!
Sumber: Sinar Harian
