Euforia Bola 2026
Dapur

Tak Pandai Pilih Sayur? Ini Cara Terbaik Pilih Sayur-Sayuran Di Pasar Terutama Buat Generasi Muda

Ramai generasi kini yang masih tidak tahu cara untuk memilih sayuran yang baik. Anda boleh memasak masakan yang teruk dengan bahan yang terbaik tetapi anda tidak boleh memasak masakan yang baik dengan bahan yang buruk. Oleh kerana itu, pemilihan barangan merupakan antara perkara terpenting ketika membeli bahan masakan. .

Setiap jenis sayur mempunyai tanda tersendiri bagi menunjukkan tahap kesegarannya. Anda perlu bijak memilih menggunakan deria anda agar tidak tersalah pilih sayuran yang tidak elok.

Baca juga: 3 Kesalahan Selalu Dilakukan Dalam Mendidik Anak, Jangan Label Diri Sebagai ‘Ibu Bapa Gagal’

1. Sayur berdaun

Bagi sayur berdaun seperti bayam dan sawi, pilih sayur yang mempunyai batang kecil manakala daunnya besar. Batang yang besar akan pahit dan tidak banyak boleh digunakan. Sayur yang sedikit berlubang daunnya menandakan sayur tersebut tidak menggunakan racun perosak.

2. Timun

Sayur ini perlu dipilih dengan cermat agar tidak tersalah pilih. Timun yang pahit boleh merosakkan hidangan seperti nasi lemak. Cara terbaik untuk memilih timun adalah dengan pilih timun yang kurus, lurus dan pangkalnya berwarna hijau (tidak terlalu pekat). Timun begini lebih lembut, berjus dan rangup. Jika hujung timun berwarna putih atau kuning itu bermakna ianya sudah tua.

3. Terung

Pastikan anda membeli jenis terung yang betul berdasarkan masakan anda. Apabila memilih terung, pilih terung yang mempunyai warna yang ungu yang sekata. Pastikan terung tidak mempunyai tompokan putih, berlubang dan lebam. Terung yang berlubang berkemungkinan mempunyai ulat di dalamnya.

4. Kacang panjang

Kacang panjang selalunya senang untuk dipilih kerana boleh nampak perbezaan yang ketara pada kacang panjang tua dan muda. Cara pemilihannya adalah dengan pilih kacang panjang yang kurus-kurus dan tiada benjolan padanya. Anda juga boleh menekan sedikit kacang panjang. Andai terasa kosong atau lompong, itu tandanya ia sudah tua.

5. Peria

Untuk pengetahuan anda, peria yang tua adalah lebih pahit dari peria yang muda. Bagi peria muda, ia akan memiliki garisan rapat-rapat dikulit peria berbanding yang tua. Peria yang kecil juga menandakan peria itu masih muda. Selain itu, pilih peria yang rupa luarannya elok dan tiada kesan pecah atau berlubang.

6. Bendi

Salah satu cara lain yang boleh digunakan tanpa merosakkan bendi adalah dengan melihat hujung kepala bendi. Jika terdapat lubang itu tandanya ia sudah tua. Bendi muda tidak akan mempunyai lubang dihujung kepalanya.

Selain itu, pegang dan tekan sedikit bendi, rasa yang padat melambangkan bendi muda sementara rasa lompong atau kosong menakdakan bendi tersebut sudah agak tua.

7. Kobis

Cara untuk memilih kobis adalah dengan pilih kobis yang berwarna hijau cerah serta berkilat. Anda juga perlu pastikan kubis yang dipilih memiliki tekstur keras dan padat apabila disentuh. Ini menandakan ia masih segar dan tidak kosong dibahagian dalamnya.

Jika anda memiliki keluarga yang kecil, anda juga boleh membeli kobis yang telah dipotong sebelah. Ini memudahkan proses pemilihan kerana anda boleh dapat melihat isi dalamannya.

8. Tomato

Apabila anda ingin membeli tomato, rancang dahulu bila anda hendak menggunakannya. Jika anda berniat untuk menyimpan atau memasak dalam tempoh tiga ke empat hari lagi, adalah baik untuk anda memilih tomato yang sedikit kehijau-hijauan.

Sebaliknya, jika anda ingin memasak terus, anda perlu pilih tomato yang berwarna oren dan kulit yang berkilat licin. ia menandakan tomato sudah masak ranum dan sedia untuk digunakan.

9. Lobak merah

Pilih yang bersaiz sederhana, batang yang lurus dan berwarna oren terang. Anda juga perlu memilih lobak merah yang tidak mempunyai kesan torehan atau lubang. Hindari dari memilih lobak merah yang kelihatan kusam, terlalu besar atau rosak.

10. Sayur berubi


Sayur berubi seperti ubi keladi, ubi kayu dan ubi kentang perlulah dipilih yang masih belum bertunas. Ubi yang sudah bertunas menandakan ianya sudah lama disimpan. Sama seperti lobak merah, pastikan ubi yang dipilih tidak mempunyai kesan torehan atau berlubang.

Sumber: North Dakota State University 

Yang Popular!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×