Euforia Bola 2026
Didik

Kanak-Kanak Usia 5 Tahun Bakal Diwajibkan Mula Prasekolah, PM Anwar Umum Menerusi RMK13!

pendidikan prasekolah

Pendidikan prasekolah bakal diwajibkan kepada semua kanak-kanak seawal usia lima tahun, menurut pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Inisiatif ini merupakan antara langkah terpenting dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara agar lebih menyeluruh dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Baca juga: 5 Tips Isi UPU Untuk Elak Jadi Graduan ‘Tersadai’ Habis Konvo, Lepasan STPM Baca Ini!

PENDIDIKAN PRASEKOLAH BAKAL BERMULA USIA 5 TAHUN

pendidikan prasekolah

Foto hiasan: Gambar fail (NSTP)

Dalam pengumuman terkini, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa keutamaan kerajaan kini ialah memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak secara menyeluruh, terutama di kawasan luar bandar.

“Pada masa sama, lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan disediakan terutama di kawasan desa,” ujar beliau.

Langkah ini bukan sekadar penyediaan infrastruktur, tetapi turut melibatkan penilaian semula terhadap struktur waktu persekolahan, keberkesanan sekolah khusus, serta menambah baik model pendidikan bagi murid yang pintar cerdas dan berbakat.

Bahasa dan STEM Jadi Fokus Pemerkasaan

Menurut Anwar, pendidikan bahasa juga akan diperkasakan. Penguasaan Bahasa Melayu akan diberi perhatian utama di semua peringkat, manakala Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pembelajaran dan perhubungan.

Selain itu, pembelajaran bahasa tambahan akan diperluaskan, seiring dengan pendekatan pendidikan antarabangsa yang lebih terbuka.

Turut menjadi tumpuan adalah pengukuhan pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta literasi digital.

Ini termasuk pengenalan asas kecerdasan buatan (AI) di peringkat awal sebagai persiapan generasi muda menghadapi keperluan pasaran kerja masa hadapan bernilai tinggi.

“Sistem pendidikan negara akan diperkemas supaya lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan,” tambah Anwar.

Baca juga: Jadual Waktu Peperiksaan UPKK & IKP 2025 Dah Keluar & Boleh Tengok Sini, Semua Calon ‘Fighting’!

RM67 Bilion untuk Pendidikan dalam RMK13

Kerajaan turut memperuntukkan sejumlah besar iaitu RM67 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk pembangunan sektor pendidikan.

Peruntukan ini meliputi pembinaan sekolah baharu, baik pulih bangunan sekolah termasuk tadika KEMAS, serta peningkatan kemudahan institusi pengajian tinggi awam.

Kerajaan turut menetapkan bahawa pembinaan sekolah menerusi RMK13 mesti menjadi syarat utama dalam kebenaran merancang projek perumahan berskala besar, sekali gus memastikan pembangunan infrastruktur pendidikan selari dengan pembangunan perumahan negara.

“Pembinaan sekolah vertikal akan diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak sekolah yang bersesuaian,” katanya.

Penyelarasan Kuasa Pendidikan

Dalam pembaharuan dasar yang turut diumumkan, Kementerian Pendidikan (KPM) akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam pengawalseliaan pendidikan dari peringkat prasekolah hingga menengah.

Manakala, pendidikan prauniversiti dan tinggi akan diselaras oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Langkah ini bertujuan untuk memperjelaskan bidang kuasa setiap kementerian, serta meningkatkan kecekapan pelaksanaan dasar pendidikan secara menyeluruh.

Baca juga: Kekurangan Bukan Penghalang, 5 Kerjaya Sesuai Untuk OKU Yang Ramai Tak Nampak

Sumber: Berita Harian

FT Image: AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×