Menjelang ketibaan Ramadan, empat individu mengambil langkah besar dalam hidup apabila peluk Islam dan berazam untuk mempelajari cara menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
Sebaik melafazkan dua kalimah syahadah, mereka bersama kira-kira 80 mualaf lain menunaikan solat Asar secara berjemaah di Masjid Jamek Haji Wahab.
Baca juga: Budak 12 Tahun Bertindak Berani, Wira Cilik Manfaatkan Ilmu CPR Untuk Selamatkan Rakan Lemas!
EMPAT INDIVIDU PELUK ISLAM, MAHU BELAJAR PUASA RAMADAN INI

Suasana penuh syahdu dan rasa syukur jelas terpancar pada wajah saudara baharu yang memulakan fasa baharu kehidupan sebagai Muslim.
Program pengislaman tersebut dianjurkan oleh Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) dengan kerjasama pihak pengurusan masjid berkenaan. Selain sesi pengislaman, para mualaf turut menerima sumbangan sempena Tahun Baharu Cina bagi membantu mereka pulang menziarahi keluarga di kampung halaman.
Empat individu yang memilih Islam sebagai pegangan hidup ialah Ong Khong Wah, 71, Ng Tiuan Kiang, 34, Low Chin Yu, 37, dan Cheah Sze Min, 31.
Bagi Khong Wah, yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai percetakan, laungan azan yang sering berkumandang di kawasan tempat tinggalnya menyentuh hati dan membangkitkan rasa ingin tahu.
“Saya rasa tenang bila dengar azan. Saya faham ia satu seruan untuk mengingati Allah dan menunaikan solat,” ujarnya ringkas, sambil mengakui rakan-rakan Muslim banyak membimbingnya mengenali ajaran Islam.
Tiuan Kiang pula berkongsi bahawa setiap kali melihat umat Islam mendirikan solat di masjid, dia tertanya-tanya tentang keindahan agama tersebut. Setelah mencari jawapan kepada persoalan yang timbul, dia akhirnya yakin untuk memilih Islam sebagai cara hidup.

Chin Yu menegaskan keputusannya dibuat dengan rela hati tanpa sebarang desakan. Katanya, dia ingin mendalami ajaran Islam secara berperingkat dan memahami tuntutan sebagai seorang Muslim.
Sementara itu, Sze Min mengakui hubungan rapat dengan rakan-rakan Islam yang sering membantunya dalam pelbagai urusan menjadi antara faktor yang membuka pintu hatinya.
“Saya selesa bersama mereka. Sikap dan akhlak mereka membuatkan saya tertarik untuk mengenali Islam dengan lebih dekat,” katanya.
Dalam program sama, para mualaf turut mengikuti sesi penerangan ringkas mengenai asas agama serta diberi ruang untuk mengemukakan soalan berkaitan perkara yang masih menjadi kemusykilan.
Kisah penghijrahan ini bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi bukti bahawa hidayah hadir dalam pelbagai cara antara melalui persahabatan, pemerhatian dan pencarian yang ikhlas.
Sumber: Malaysia Gazette
