Usia muda bukan penghalang untuk mencipta kejayaan luar biasa. Itulah yang dibuktikan oleh dua beradik cilik apabila berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dengan kudrat sendiri, sekali gus mencuri perhatian ramai.
Nael Hammad bin Najib, 9 tahun dan adiknya, Raeq Zakiy bin Najib, 6 tahun, murid Sekolah Kebangsaan Taman Selasih, berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada 27 Januari 2026.
2 KANAK-KANAK BERJAYA TAWAN PUNCAK GUNUNG KINABALU

Kejayaan tersebut pastinya menjadi satu pencapaian membanggakan memandangkan Gunung Kinabalu merupakan gunung tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 4,095 meter dari aras laut.
Difahamkan, dua beradik ini berjaya melengkapkan perjalanan pendakian sejauh kira-kira 18 kilometer melibatkan laluan naik dan turun dalam tempoh hampir 18 jam.
Apa yang lebih mengagumkan, kedua-dua kanak-kanak ini bukan sekadar mencuba nasib, sebaliknya telah menjalani persediaan rapi sebelum memulakan misi mendaki gunung ikonik itu.
Menurut perkongsian, mereka telah didedahkan dengan aktiviti pendakian sejak usia tiga tahun lagi. Pendedahan awal itu dipercayai membantu membina ketahanan fizikal, disiplin serta keyakinan diri dalam menghadapi cabaran aktiviti lasak.
Dalam usaha menakluki puncak Gunung Kinabalu, Nael dan Raeq turut mendapat bimbingan penuh daripada ibu bapa mereka, selain dibantu oleh dua Malim Gunung berdaftar sepanjang pendakian berlangsung.

Hasil latihan, persediaan dan sokongan berterusan, dua beradik kecil ini akhirnya berjaya merealisasikan impian mereka dengan selamat.
Kisah inspirasi ini menjadi bukti bahawa usia bukanlah ukuran utama dalam mencapai sesuatu kejayaan. Dengan latihan yang betul, persediaan mencukupi serta sokongan daripada keluarga, impian yang kelihatan sukar sekalipun mampu direalisasikan.
Perkongsian kejayaan dua beradik ini turut memberi inspirasi kepada ramai pihak bahawa setiap langkah kecil yang dimulakan hari ini mampu membawa kepada pencapaian besar pada masa hadapan.
Jika kanak-kanak kecil mampu melakukannya dengan usaha dan kesungguhan, golongan dewasa juga pastinya boleh mencabar diri untuk mencapai matlamat masing-masing.
Sumber: Ohbulanofficial
