Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan sokongan Bahagian Pemakanan dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menetapkan garis panduan baharu dengan menyenaraikan 12 jenis makanan serta minuman yang tidak dibenarkan dijual di sekolah.
Langkah ini bertujuan melindungi murid daripada risiko pemakanan tidak sihat serta memastikan tumbesaran mereka berada pada tahap optimum.
12 JENIS MAKANAN & MINUMAN TAK BOLEH JUAL DI SEKOLAH

Hantaran oleh Kementerian Pendidikan di Instagram, senarai makanan dan minuman yang dilarang dijual di sekolah.
Dalam perkongsian rasmi di Instagram, KPM menegaskan larangan tersebut selari dengan usaha kerajaan menggalakkan gaya hidup sihat.
“Mengikut Peraturan Makanan 1985, makanan melepasi had tarikh luput dan makanan berbentuk permainan adalah dilarang untuk mengelak kebimbangan makanan yang membahayakan kesihatan murid,” katanya.
Antara makanan dan minuman yang dilarang:
- Makanan ringan turut tersenarai dalam kategori tidak dibenarkan. Antaranya ialah gula-gula, coklat, jeruk serta produk berkrim atau bersalut gula.
- Turut dilarang makanan diproses seperti kentang goreng, sosej, nugget dan lok cheng termasuk, bebola ikan, ayam atau daging sebagai snek untuk menggalakkan murid memilih makanan penuh khasiat protein.
- Makanan segera dalam bungkusan seperti mi segera, bihun, ramen, kuetiau, bubur segera mahupun sup segera juga dilarang kerana kandungan nutrisi yang rendah boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak.
- Produk konfeksi ais serta aiskrim pula perlu mematuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan oleh KKM dan KPM sekiranya ingin dijual di kantin sekolah.
- Sebarang minuman manis untuk pelajar seperti kordial, serbuk 3 dalam 1, minuman tenaga, isotonik, minuman herba dan minuman berkarbonat tidak dibenarkan kerana mengandungi gula berlebihan. Namun, teh dan kopi hanya dibenarkan untuk guru.
- Pengharaman turut dikenakan terhadap makanan serta minuman beralkohol, selaras dengan usaha mendidik murid mengamalkan gaya hidup sihat sejak di bangku sekolah lagi.
Langkah larangan ini diyakini dapat membantu membentuk tabiat pemakanan lebih baik dalam kalangan murid, sekali gus menyokong usaha kerajaan menurunkan kadar obesiti dan masalah kesihatan berkaitan pemakanan di Malaysia.
Baca juga: KPM Lulus RM3 Juta Pasang CCTV Di Sekolah Berasrama, Tak Sangka Ramai Berikan Reaksi Ini!
Sumber: Kosmo! Online
FT Image: Viral Media Johor / AWANI
