Gelaran wira cilik nyata layak diberikan kepada seorang murid berusia 12 tahun ini apabila keberanian dan tindakan pantasnya berjaya menyelamatkan nyawa seorang rakan yang hampir lemas dalam kejadian di Pantai Pasir Hitam.
Dalam kejadian tersebut, Faris Danish Zulfadli berkata dia bersama dua rakannya singgah ke kawasan pantai berkenaan selepas selesai menjalani latihan merentas desa. Mereka sekadar berehat dan bermain di sekitar kawasan berbatu berhampiran laut.
Baca juga: “Terima Kasih Cikgu Faiz Pimpin Tangan Anak Saya..” Ibu Terharu Anak Istimewa Sertai Sukan Sekolah
WIRA CILIK 12 TAHUN BERJAYA SELAMATKAN RAKAN HAMPIR LEMAS

Bagaimanapun, suasana santai itu bertukar cemas apabila seorang rakan mereka yang berusia 10 tahun dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam air.
Menurut Faris, pada awalnya dia menyangka rakannya mampu berenang dan tidak menyedari situasi sebenar. Namun selepas beberapa minit menunggu dan mangsa masih tidak timbul di permukaan, dia mula menyedari keadaan menjadi serius.
“Saya memang takut juga. Risau kalau saya pun lemas. Tapi saya tak sampai hati nak biarkan dia,” katanya.
Dengan tekad untuk membantu, Faris segera terjun ke laut dan menarik rakannya ke tebing. Setibanya di darat, dia terus melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) berdasarkan pengetahuan yang pernah dipelajarinya sebelum ini.
Faris yang juga atlet pelayaran serta Ketua Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad berkata latihan dan pendedahan awal terhadap aktiviti air banyak membantunya bertindak dengan lebih yakin.
Selepas memberikan bantuan awal, dia segera menghubungi bapanya untuk memaklumkan kejadian tersebut. Bapanya kemudian meminta bantuan seorang pelancong asing yang berada di lokasi untuk membantu mengeluarkan air dari paru-paru mangsa sementara menunggu ambulans tiba.
Mangsa kemudiannya menunjukkan tanda-tanda sedar sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah bagi pemantauan pakar.

Sementara itu, bapa Faris, Zulfadli Mohd Yusoff, 41, mengakui pada awalnya dia berasa cemas apabila menerima panggilan daripada anak sulungnya itu. Dia sempat menasihatkan Faris supaya berhati-hati dan tidak membahayakan diri sendiri.
Menurutnya, Faris telah didedahkan dengan aktiviti air sejak kecil, namun ini merupakan pengalaman pertama anaknya berdepan situasi kecemasan sebenar melibatkan nyawa.
Sebagai seorang ayah, katanya, perasaan bimbang memang tidak dapat dielakkan, namun dia amat bersyukur kedua-dua kanak-kanak tersebut selamat dan bangga dengan keberanian yang ditunjukkan anaknya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Khairul Azhar Nuruddin mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.
Insiden ini sekali lagi mengingatkan orang ramai tentang pentingnya kemahiran asas keselamatan air dan bantuan kecemasan, khususnya kepada kanak-kanak yang sering melakukan aktiviti di kawasan pantai.
Baca juga: Jumpa Adik-Adik Jual Lukisan RM1 Di Pasar Malam, Lelaki Ini ‘Order’ Kucing & Rumah Tanda Sokongan
Sumber: Harian Metro
