Tali pinggang keledar akan diwajibkan kepada semua penumpang kenderaan persendirian tidak lama lagi. Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan, langkah itu merupakan sebahagian daripada penguatkuasaan baharu yang akan dilaksanakan di seluruh negara.
Buat masa ini, JPJ memberi tumpuan kepada program advokasi melalui kempen keselamatan jalan raya ‘Klik Sebelum Gerak’ sebelum tarikh sebenar penguatkuasaan diumumkan.
Baca juga: STR Fasa 3 Mula Dibayar Esok, Bantuan Tunai Sehingga RM650 Untuk Isi Rumah Berpendapatan Rendah
SEMUA PENUMPANG KERETA BAKAL WAJIB PAKAI TALI PINGGANG KELEDAR
“Selaras dengan kempen ini juga, kita akan maklumkan kemudian penguatkuasaan untuk pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang-penumpang kereta persendirian selepas ini.
“Kita akan maklumkan nanti, sekarang ini kita mulakan dengan kempen terlebih dahulu kempen ‘Klik Sebelum Gerak’ dan kemudian kita akan maklumkan bilakah tarikh yang kita akan tentukan untuk penguatkuasaan bagi penumpang-penumpang kereta,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Menurutnya, sesiapa yang enggan memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan tindakan dengan kompaun sehingga RM300 berdasarkan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 (pindaan 2019).
Fokus keselamatan jalan raya
Aedy Fadly menjelaskan, kempen yang dilancarkan pada Khamis itu menzahirkan komitmen JPJ dalam memperkukuh budaya keselamatan jalan raya, selain mengingatkan kepentingan tali pinggang keledar bagi pemandu mahupun penumpang.
JPJ juga akan mempergiatkan program advokasi, hebahan media, serta pemeriksaan berkala supaya tahap pematuhan dapat ditingkatkan.
“JPJ amat komited untuk menjadikan pemakaian tali pinggang keledar sebagai norma dan budaya keselamatan nasional demi melindungi nyawa setiap pengguna jalan raya,” jelasnya.

Gambar oleh Bernama: Aedy Fadly (tengah) ketika sidang media sempena Inisiatif Penguatkuasaan Keselamatan Jalan Raya di Kementerian Pengangkutan, pada Khamis.
Kajian MIROS: Kurangkan risiko kematian
Hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan pemakaian tali pinggang keledar boleh mengurangkan risiko kematian sehingga 50 peratus jika berlaku kemalangan.
“Dalam hal ini, pemakaian tali pinggang keledar akan memastikan pemandu dan penumpang kekal duduk di tempat duduk sekiranya berlaku kemalangan berbanding mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk tercedera,” katanya.
Bas ekspres dan persiaran dahulu telah diwajibkan
Sementara itu, beliau memaklumkan penguatkuasaan ke atas pemakaian tali pinggang keledar sudah pun bermula bagi penumpang bas ekspres dan bas persiaran.
“Kita dah mulakan dengan langkah penguatkuasaan (tali pinggang keledar), kita saman penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya.
Sejak 1 Julai 2025, pemakaian tali pinggang keledar diwajibkan kepada semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran. Namun, ia hanya terpakai kepada bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas lama diberi tempoh masa untuk pemasangan tali pinggang keledar.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: reads.alibaba.com

