Selepas mencuit hati ramai menerusi filem pendek Tahun Baru Cina sebelum ini, kisah Ah Seng dan Nadia kembali disambung dalam iklan raya terbaharu daripada PLUS Malaysia Berhad.
Kali ini, dia berdepan cabaran puasa pertama sebagai mualaf, sambil bekerja keras mengumpul duit untuk berkahwin dengan Nadia.
Lebih daripada sekadar kisah cinta, iklan pendek ini turut mengangkat makna sebenar Ramadan, tentang kesabaran, keikhlasan dan pengorbanan.
Cabaran pertama berpuasa sambil bekerja

Dalam kisah pendek ini, Ah Seng digambarkan bekerja sebagai tukang baiki rumah dari rumah ke rumah. Namun sebagai seorang mualaf yang baru belajar berpuasa, hari-harinya tidaklah semudah yang disangka.
Sepanjang bekerja, dia sering diuji dengan pelbagai situasi, dari bau masakan yang menyelerakan di rumah pelanggan, hinggalah minuman yang dihidangkan kepadanya kerana disangka dia tidak berpuasa.
Malah ada juga pelanggan yang dengan baik hati mengajaknya makan bersama.
Setiap kali diuji, Ah Seng hanya mampu mengingatkan dirinya dengan satu perkataan,
“Sabar…”

Apa yang membuatkan cerita ini lebih menyentuh hati ialah apabila Ah Seng menerima satu panggilan kerja yang tidak disangka.
Dia diminta datang membaiki sesuatu di sebuah surau, dan dari situlah perjalanan harinya berubah menjadi sesuatu yang lebih bermakna.
Tanpa disedari, pengalaman tersebut bukan sahaja menjadi penamat yang manis buat hari puasanya, malah memberi satu kejutan yang cukup bermakna untuk dirinya.
Nak tahu bagaimana Ah Seng akhirnya melalui cabaran puasanya dan apakah kejutan yang menanti di penghujung cerita? Kalau nak tahu, kenalah tonton video penuh di bawah.
