Kehilangan Nur Izzati Humaira Azizul, 19, ketika aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim bukan sahaja mengundang kebimbangan ramai, malah turut mencetuskan suasana seram apabila tular satu video pencarian pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang didakwa kedengaran bunyi aneh di kawasan hutan tersebut.
Baca juga: Tular Dakwaan Guru Lelaki Bujang Buat Gangguan Seksual Pada Murid Tahun 6, Kini Direman 6 Hari
TERUS BERDOA AGAR NUR IZZATI HUMAIRA DITEMUI SEGERA

Tangkap layar video tular
Menerusi video berdurasi lebih seminit yang dimuat naik di Threads oleh seorang pengguna dikenali sebagai Shera, kelihatan anggota SAR sedang memanggil nama Nur Izzati di kawasan semak sewaktu operasi dijalankan.
Namun, beberapa saat kemudian, kedengaran bunyi seakan-akan ketawa yang menyebabkan ramai warga maya berasa meremang dan tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku di lokasi pencarian tersebut.
“Ya Allah meremang bulu roma dengar benda itu gelak. Jelas! Ya Allah kembalikan Nur Izzati Humaira ke pangkuan keluarganya dengan selamat. Jom kita sama-sama doakan,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak terbabit mengenai dakwaan bunyi aneh tersebut dan ia dilihat sekadar perkara tular di media sosial, bukannya fakta rasmi tentang punca kehilangan mangsa.
Fokus utama ketika ini kekal kepada usaha pencarian Nur Izzati yang masih giat dijalankan oleh pasukan penyelamat bersama pelbagai agensi berkaitan, doa dan maklumat sahih daripada pihak berkuasa.
Baca juga: “Kesakitan Itu Benar…” Pakar Sahkan Zara Qairina Alami Kesan Psikologi Jangka Panjang
KRONOLOGI KEHILANGAN NUR IZZATI DI BUKIT CHANGKAT ASA
Difahamkan, kehilangan Nur Izzati Humaira Azizul mula disedari selepas dia dipercayai terpisah daripada kumpulan pendaki ketika menuruni Bukit Asa atau Bukit Changkat Asa berhampiran Tanjung Malim.

Gambar: BERNAMA
Berikut kronologi kejadian:
Sabtu, 23 Mei 2026
- 8.40 pagi: Nur Izzati Humaira Azizul dilaporkan memulakan aktiviti pendakian di Bukit Asa atau Bukit Changkat Asa bersama ahli keluarga.
- 10.50 pagi: Ketika perjalanan turun, kumpulan pendaki berhenti berehat. Nur Izzati kemudian meminta kunci kereta dan beg galas daripada ibunya kerana mahu turun terlebih dahulu ke kawasan parkir untuk berehat. Difahamkan, remaja berusia 19 tahun itu memaklumkan dirinya penat dan tidak tahan panas.
- 11.35 pagi: Ibu Nur Izzati tiba di kawasan parkir namun mendapati anaknya tiada di dalam kereta seperti yang disangka. Pada ketika inilah Nur Izzati dipercayai hilang semasa menuruni bukit seorang diri.
- 1.26 tengah hari: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berkaitan kehilangan mangsa sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan.
- 2.30 petang: Polis Hulu Selangor menerima maklumat kejadian daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim sebelum Pusat Kawalan Tempat Kejadian dibuka.
- 4.38 petang – 11.53 malam: Operasi SAR dijalankan dalam keadaan hujan renyai sebelum dihentikan sementara pada lewat malam. Antara agensi yang terlibat termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), UPSI dan sukarelawan.
Ahad, 24 Mei 2026
- Operasi pencarian disambung semula dengan penglibatan 76 anggota bomba, sukarelawan serta NGO.
- Dua anjing pengesan K9 turut digunakan manakala kawasan pencarian dilaporkan meliputi 0.436 kilometer persegi.
- Bagaimanapun, sehingga petang Ahad, Nur Izzati masih belum ditemui.
- Pihak bomba turut memaklumkan tiada petunjuk baharu yang meyakinkan ditemui. Beberapa kesan tapak kasut dijumpai namun belum dapat dipastikan milik mangsa, manakala selipar serta botol air yang ditemui disahkan bukan kepunyaannya.
RADIUS PENCARIAN DIPERLUAS PADA HARI KETIGA
Isnin, 25 Mei 2026
- Operasi memasuki hari ketiga dengan radius pencarian diperluaskan kepada 0.5 kilometer persegi.
- Pasukan SAR menggunakan teknik sweeping dengan tumpuan di kawasan timur Pos Kawalan Tempat Kejadian.
- Operasi turut dibantu tiga unit K9 iaitu dua daripada JBPM dan satu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain penggunaan dron daripada Unit Pengurusan Bencana Kerajaan Negeri Selangor.
- Setakat tengah hari, seramai 90 individu dilaporkan terlibat dalam operasi SAR, namun pihak bomba memaklumkan masih tiada petunjuk baharu dan pencarian masih berpandukan maklumat keluarga.
- Pada sebelah petang, bapa Nur Izzati, Azizul Abdul Aziz dilaporkan berharap anaknya dapat ditemui dalam apa keadaan sekalipun selepas keluarga semakin buntu menanti khabar berita.
Dalam masa sama, orang ramai terus menzahirkan doa dan harapan agar Nur Izzati dapat ditemui dengan selamat, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menyambut Hari Arafah yang jatuh pada hari ini yang merupakan waktu paling mustajab untuk berdoa.
Lihat di Threads
Sumber: Public Health Malaysia / Threads @nurulasshera_ / Kosmo
FT Image: Harian Metro / Threads @nurulasshera_
