Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Universiti Malaya (UM) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai dua universiti terbaik di Malaysia dalam Times Higher Education (THE) University Ranking 2026!
Ini merupakan berita yang membanggakan dan boleh menjadi panduan buat anak-anak muda yang bakal melangkah ke alam universiti tidak lama lagi.
Baca lagi: Wow! Empat Universiti Malaysia Tersenarai Dalam 150 Terbaik Dunia Oleh QS World Rankings 2026
UNIVERSITI TERBAIK DI MALAYSIA, UTP & UM DALAM SENARAI ATAS

Universiti Teknologi PETRONAS (foto UTP)
Menerusi senarai terkini yang dikeluarkan, kedua-dua institusi ini berkongsi kedudukan 201–250 dunia, sekali gus mengekalkan reputasi sebagai antara pusat pengajian tinggi paling berprestij di rantau ini.
Selain UTP dan UM, Sunway University serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berada dalam kelompok 301–350 terbaik dunia.
Sementara itu, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) berada di kedudukan 401–500, mengatasi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang disenaraikan pada kedudukan 501–600.
Tidak ketinggalan, empat universiti tempatan lain turut tersenarai dalam kelompok 601–800 dunia, iaitu:
- Management and Science University (MSU)
- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
- Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
- Universiti Asia Semakin Kukuh Dalam Bidang STEM
BIDANG STEM MELONJAK

Universiti Malaya
Menurut laporan Times Higher Education, universiti di seluruh Asia menunjukkan lonjakan ketara dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Malah, prestasi institusi Asia dalam beberapa bidang lain kini berkembang lebih pantas berbanding universiti di Eropah dan Amerika Utara.
Dalam bidang sains hayat, buat pertama kali, tiga universiti Asia berjaya menembusi kelompok 20 terbaik dunia, termasuk National University of Singapore yang melonjak ke kedudukan ke-19. Times turut memaklumkan bahawa:
- 17% universiti Asia meningkat dalam bidang sains hayat
- 16% meningkat dalam sains fizikal
- 19% mencatat peningkatan dalam sains komputer
Namun begitu, data 2026 menunjukkan kemajuan Asia bukan terhad kepada STEM semata-mata. Hampir 47% institusi Asia menunjukkan peningkatan dalam kedudukan bidang undang-undang, manakala 32% mencatat penambahbaikan dalam bidang pendidikan.
Bidang seni dan kemanusiaan turut menunjukkan prestasi positif dengan 29% institusi meningkat, diikuti bidang perniagaan dan ekonomi dengan 26%.
Lebih membanggakan, buat pertama kali dalam sejarah, tiga universiti Asia berjaya berada dalam kelompok 10 teratas dunia bagi bidang perniagaan dan ekonomi dan ini merupakan satu petanda jelas bahawa landskap pendidikan tinggi Asia kini semakin diiktiraf di peringkat global. Tahniah!
Sumber: Times Higher Education
