Konsep me time sering dikaitkan dengan keperluan seseorang untuk berehat, menenangkan fikiran dan meluangkan masa untuk diri sendiri selepas berdepan rutin harian yang sibuk.
Namun, menurut pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar, keperluan tersebut tetap perlu dilaksanakan dalam batas yang dibenarkan syarak.
KONSEP ME TIME ISTERI, SUAMI PERLU TAHU BATAS SYARIAT

Kredit: Magnific
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau mengingatkan bahawa sokongan seorang suami terhadap isteri untuk mendapatkan me time adalah sesuatu yang baik. Namun, ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan batas halal dan haram yang telah ditetapkan dalam Islam.
Dalam perkongsiannya, Ustaz Wadi menegaskan bahawa peranan seorang suami bukan sekadar menyediakan keperluan keluarga, malah memimpin isteri dan anak-anak ke arah keredaan Allah SWT.
Menurut beliau, kasih sayang terhadap ahli keluarga perlu dizahirkan dengan memastikan kebajikan mereka bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat.
“Bagus suami yang menyokong isteri untuk ‘me time’. Tetapi itu bukan bermaksud membiarkan semuanya tanpa sempadan halal dan haram.
“Tugas suami sebagai ketua keluarga adalah memimpin keluarga ke arah reda Allah. Sayangi mereka, jaga akhirat mereka,” katanya.

Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, khususnya golongan ibu yang berkongsi pandangan mengenai maksud me time dalam kehidupan mereka.
Seorang pengguna Facebook berkata, me time baginya tidak memerlukan aktiviti yang rumit atau keluar bersiar-siar dalam tempoh yang lama.
“Me time saya simple saja. Bagi saya makan dengan tenang. Kalau me time keluar berjalan-jalan, saya pula jadi tidak tenang kerana asyik memikirkan anak-anak dan suami.
“Me time saya tak susah pun. Hantar saya balik rumah mak saya. Saya nak makan masakan mak saya, jalan-jalan dengan mak ayah dan borak-borak dengan mereka,” ujarnya.
Perkongsian Ustaz Wadi Annuar itu dilihat sebagai peringatan bahawa Islam tidak menghalang seseorang daripada meluangkan masa untuk diri sendiri tetapi setiap aktiviti yang dilakukan perlu sentiasa berpandukan syariat.
Sumber: Facebook Ustaz Wadi Annuar
