UiTM Chamber Choir (UCC) terus mencipta sejarah apabila sekali lagi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Dalam saingan African Asia Pacific Choir Games 2025 yang berlangsung di Mauritius dari 27 September hingga 1 Oktober lalu, pasukan koir dari Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam kategori Chamber Choir dan Equal Voice.
Baca juga: Kenang Arwah Ibu Bapa Kerja Tukang Masak & Jahit, Alis Pilih Jurusan Ekonomi Rumah Tangga!
UiTM CHAMBER CHOIR RAIH PENCAPAIAN BERLIPAT GANDA!
Lebih istimewa, UiTM Chamber Choir turut menerima gelaran tertinggi ‘Grand Prix de Nation’ bagi kedua-dua kategori tersebut, iaitu pengiktirafan eksklusif yang hanya dianugerahkan kepada kumpulan koir terbaik keseluruhan pertandingan.
Pencapaian ini sekali gus membuktikan keunggulan UCC yang berjaya menempatkan diri sebagai antara yang terbaik daripada 53 pasukan koir mewakili 14 negara.
Kejayaan bersejarah ini digalas oleh seramai 25 pelajar Fakulti Muzik UiTM dengan bimbingan konduktor merangkap pensyarah, Maryann Magdalena. Turut bersama ialah Dekan Fakulti Muzik, Prof. Dr. Tazul Izan Tajuddin yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan mereka di pentas antarabangsa.

Gambar: Instagram @uitmchamberchoirofficial
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, menyifatkan kemenangan ini bukan hanya satu pencapaian akademik, malah lambang kebolehan anak bangsa bersaing dengan bakat besar dunia.
“Kemenangan ini bukan sekadar sebuah trofi, tetapi bukti bahawa bakat anak bangsa mampu bersaing di pentas dunia.
“UiTM Chamber Choir telah membawa suara Malaysia ke persada antarabangsa, sekali gus mengangkat martabat UiTM dan negara tercinta,” katanya.
Pihak universiti juga menzahirkan penghargaan kepada semua yang menyokong perjuangan UCC, termasuk barisan pensyarah, jurulatih, fakulti dan seluruh warga UiTM yang menjadi tulang belakang sejak awal perjalanan mereka.
Bagi UCC sendiri, kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama fakulti dan universiti, tetapi turut menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus mengasah bakat serta berdaya saing di arena global.
Sumber: Berita RTM
FT Image: Instagram @uitmchamberchoirofficial

