Dalam kehidupan seharian, adab kecil sering mencerminkan kefahaman seseorang terhadap ajaran agama, termasuk cara bertindak apabila orang bukan Islam bersin di hadapan kita.
Situasi ringkas ini sebenarnya mempunyai panduan khusus dalam Islam yang jarang dibincangkan secara terperinci.
Baca juga: Tular Usahawan Beli Kain Kafan Mahal, Pakar Fiqh Ulas Ada 3 Hukum Bergantung Kepada Situasi INI
UCAPAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM BERSIN
Menurut perkongsian Dr. Kamilin Jamilin, kekeliruan ini berpunca daripada perbezaan adab yang diajarkan Islam apabila seseorang Islam bersin berbanding individu bukan Islam.
Dalam Islam, apabila orang Islam bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, maka disunatkan bagi orang di sekeliling untuk mendoakan “Yarhamukallah” atau “Yarhamukillah”.
Namun, keadaannya berbeza apabila yang bersin itu adalah bukan Islam. Mereka tidak mengucapkan Alhamdulillah dan dalam situasi ini, Islam tidak menganjurkan doa rahmat yang sama seperti kepada orang beriman.
Ucapan Rasulullah SAW kepada orang bukan Islam bersin
Perkara ini dijelaskan melalui sebuah hadis riwayat Abu Dawud yang menceritakan bahawa orang Yahudi pernah bersin di sisi Rasulullah SAW dengan harapan baginda mendoakan mereka. Namun, Nabi SAW tidak mengucapkan Yarhamukallah kepada mereka.
Sebaliknya, Rasulullah SAW mengucapkan:
Yahdikumullah wa yuslih balakum.
“Semoga Allah memberi kamu hidayah dan memperbaiki urusan kamu.”
Menurut Dr. Kamilin, doa rahmat seperti keampunan dan syurga merupakan rahmat khusus untuk orang beriman. Walau bagaimanapun, Islam tetap mengajar umatnya agar berinteraksi dengan orang bukan Islam menggunakan ucapan serta doa yang baik.
Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk mendoakan kebaikan kepada orang bukan Islam selagi doa tersebut tidak termasuk dalam doa yang khusus untuk orang beriman. Antara doa yang dibolehkan ialah doa agar diberikan hidayah, kesihatan dan kebaikan urusan hidup.
Dalam konteks semasa, ucapan seperti “May Allah guide you”, “Semoga Allah berikan kesihatan” atau doa-doa baik lain adalah selari dengan sunnah yang diamalkan oleh Nabi SAW.

Gambar: Amirul Fahim Amir
Daripada sudut adab dan akhlak, Islam bukan sahaja mengajar tentang ibadah, malah mendidik umatnya supaya berinteraksi dengan semua manusia secara hikmah dan berhemah tanpa mengira latar belakang agama.
Amalan mendoakan kebaikan ini bukan sahaja mencerminkan keindahan ajaran Islam, malah berpotensi menjadi asbab kebaikan dan hidayah buat mereka yang menerimanya.
Sumber: Dr. Kamilin Jamilin
FT Image: Freepik

