Beberapa tahun kebelakangan ini, dunia menyaksikan satu fenomena luar biasa di mana ubat diabetes seperti Ozempic dan Mounjaro kini menjadi ‘ubat kurus’ dan simbol gaya hidup moden untuk mendapatkan tubuh langsing dengan cara paling cepat.
Pada asalnya, kedua-dua ubat ini dicipta untuk membantu pesakit mengawal paras gula dalam darah namun lain pula yang jadi sekarang.
Baca juga: Wanita Masuk ICU Lepas Makan Anggur Shine Muscat… Terus Alami Sakit Kepala, Batuk & Badan Lemah
UBAT DIABETES JADI TREND, RAMAI CUCUK UNTUK KURUS

Freepik
Segalanya bermula apabila pesakit diabetes yang menggunakan Ozempic, mengandungi bahan aktif Semaglutide, melaporkan penurunan berat badan mendadak sebagai kesan sampingan. Dari situ, ubat ini mula dikongsi dalam komuniti perubatan, kemudian tular di media sosial seperti TikTok dan Instagram.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia, hashtag #Ozempic kini mencatat lebih tiga bilion tontonan di seluruh dunia.
Tidak lama selepas itu, muncul pula Mounjaro yang mengandungi Tirzepatide dan didapati memberikan kesan lebih ketara kerana bertindak terhadap dua hormon sekaligus.
Fenomena ini semakin menjadi-jadi apabila beberapa selebriti antarabangsa mengakui menggunakan ubat ini. Ramai artis Hollywood turut tampil dengan bentuk tubuh baharu hingga muncul istilah “Ozempic face” merujuk kepada wajah yang tampak terlalu cengkung akibat kehilangan lemak dengan cepat.
Dalam masa sama, ramai pempengaruh di media sosial mula mempromosikan ‘pen ajaib’ ini sebagai jalan pintas untuk kurus tanpa diet dan senaman. Masalahnya, ramai membelinya tanpa preskripsi doktor, tanpa pemeriksaan kesihatan dan tanpa pengetahuan tentang kesan sampingan yang boleh berlaku.
Kesan sampingan ubat ‘kurus’ ini

Freepik
Antara kesan sampingan ubat diabetes ini adalah akan mengalami mual, muntah, sembelit dan sakit perut. Terdapat juga laporan mengenai pankreatitis, gangguan buah pinggang dan hipoglisemia alam kalangan individu yang bukan pesakit diabetes.
Lebih membimbangkan, penurunan berat badan yang terlalu cepat boleh menyebabkan kehilangan otot, bukan lemak semata-mata. Bila ubat dihentikan, berat badan biasanya naik semula dengan cepat, fenomena ini dikenali sebagai Ozempic rebound.
Ramai beranggapan bahawa dengan hanya satu suntikan seminggu, semua masalah berat badan akan selesai. Namun hakikatnya, ubat ini hanya membantu mengawal selera makan, bukan mengubah gaya hidup seseorang.
Tanpa disiplin dalam pemakanan, aktiviti fizikal, tidur yang mencukupi dan pengurusan stres, berat badan yang turun akan naik semula sebaik sahaja ubat dihentikan. Lebih buruk, kehilangan otot dan kekurangan nutrisi boleh melemahkan tubuh serta mempercepatkan proses penuaan.
Sumber: Facebook
