Sejak kebelakangan ini, beberapa kes kanak-kanak terjatuh dari balkoni dan tingkap kembali membuatkan ramai ibu bapa yang tinggal di rumah tinggi rasa tak sedap duduk.
Walaupun rumah nampak selesa dan lengkap serba-serbi, hakikatnya kediaman bertingkat seperti apartment atau kondominium ada beberapa sudut yang boleh jadi bahaya besar jika tak diberi perhatian, terutama bila di rumah ada anak kecil yang aktif memanjat dan suka meneroka.
7 UBAH SUAI RUMAH TINGGI IBU BAPA PATUT BUAT

Gambar hiasan: Gemini AI
Disebabkan itu, bila bercakap tentang keselamatan anak, ubah suai rumah tinggi bukan sekadar soal cantik atau kemas semata-mata. Ada beberapa perkara asas yang nampak kecil, tetapi sebenarnya boleh bantu kurangkan risiko kemalangan di rumah.
1. Hadkan bukaan tingkap, jangan biar boleh dibuka luas
Kalau tingkap rumah mudah dibuka penuh, pertimbangkan pemasangan window restrictor atau kunci keselamatan supaya bukaan tingkap dapat dihadkan.
Ini penting kerana ramai ibu bapa sangka jaring nyamuk sudah cukup, sedangkan ia langsung tidak direka untuk menampung berat kanak-kanak.
2. Jauhkan kerusi, sofa atau bangku dari tingkap dan balkoni
Antara kesilapan yang selalu tak disedari ialah meletakkan perabot berhampiran tingkap atau balkoni. Kerusi kecil, sofa, rak mainan atau bangku boleh jadi “tangga” untuk anak memanjat dan melihat ke luar.
3. Pastikan pintu balkoni sentiasa berkunci bila tak digunakan
Kalau rumah ada balkoni, biasakan untuk kunci pintu setiap kali ruang itu tidak digunakan. Kalau boleh, pasang juga kunci tambahan di bahagian lebih tinggi supaya anak kecil tak mudah capai dan buka sendiri.
4. Pertimbangkan pasang grill atau jaring keselamatan
Untuk rumah tinggi, pemasangan grill keselamatan, invisible grille atau safety net pada balkoni dan tingkap boleh jadi lapisan perlindungan tambahan. Cuma pastikan pemasangan dibuat dengan kukuh dan sesuai untuk kegunaan jangka panjang.
Baca juga: Tips Ubah Rumah Banyak Barang Jadi Minimalis, Barulah Sedap Mata Memandang!
Baca juga: Tak Perlu Pewangi Mahal, Ini Cara Paling Mudah Kekalkan Bau Harum Bilik Air Guna 2 Bahan Saja!

Gambar hiasan: Gemini AI
5. Jangan jadikan balkoni tempat simpan barang
Ramai suka letak pasu, rak, bangku atau kerusi santai di balkoni. Masalahnya, semua ini boleh jadi alat untuk anak memanjat lebih tinggi. Kalau ada anak kecil, lebih baik pastikan balkoni kosong dan minimum barang.
6. Pilih tingkap dan pintu dengan sistem kunci yang lebih selamat
Kalau sedang renovate atau bercadang tukar tingkap, pilih jenis yang ada lockable handle, bukaan terhad atau mekanisme keselamatan tambahan. Nampak macam perkara kecil, tapi inilah antara pelaburan yang sangat berbaloi untuk keselamatan anak.
7. Jangan terlalu yakin dengan ayat “anak saya tak panjat”
Ramai ibu bapa rasa anak mereka takkan buat perkara berbahaya. Hakikatnya, kemalangan selalunya berlaku dalam beberapa saat ketika orang dewasa leka, sibuk memasak atau ke bilik air. Dalam rumah tinggi, ruang untuk silap memang sangat kecil.
Pendek kata, bila tinggal di rumah tinggi, keselamatan anak memang tak boleh dipandang ringan.
Kadang-kadang hanya dengan alih perabot, tambah satu kunci keselamatan atau pasang penghadang pada tingkap, ia sudah cukup untuk mengelakkan tragedi yang tak diingini.
Sumber: MKN / Fraser Health / CHOC
FT Image: Gemini AI
