Kalau sebelum ini laluan kemahiran sering dipandang sebelah mata, 2025 jadi turning point besar untuk dunia TVET di Malaysia.
Terbaharu, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) tampil menyambut baik pindaan kepada Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652) dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran (Akta 640) yang dibentangkan untuk Bacaan Kedua di Parlimen.
Langkah ini bukan sekadar kemas kini undang-undang, tetapi dilihat sebagai usaha strategik untuk memperkukuh ekosistem latihan kemahiran, khususnya dalam membuka lebih banyak peluang kepada belia termasuk anak-anak Perak yang mahu membina masa depan melalui laluan TVET.
TVET Jadi Lebih Fleksibel & Relevan Dengan Dunia Sebenar
Antara penambahbaikan utama yang mencuri tumpuan ialah pengenalan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM). Berbeza dengan pendekatan lama, SKMM memberi lebih fleksibiliti kepada individu untuk belajar mengikut modul dan keperluan semasa, selari dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat.
Pendekatan ini secara tak langsung membuka ruang kepada lebih ramai orang, termasuk mereka yang sudah bekerja tapi mahu tambah kemahiran tanpa perlu ikut laluan konvensional sepenuhnya. Ringkasnya, belajar ikut pace sendiri, tapi tetap diiktiraf.
Pakar Kemahiran Kini Diberi Pengiktirafan Rasmi
Pindaan ini juga memperkenalkan kategori baharu seperti Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran. Ini bermakna, kepakaran yang dibina bertahun-tahun dalam industri kini bukan sekadar pengalaman, tetapi diiktiraf secara formal.
Langkah ini dijangka mampu menarik lebih ramai pemain industri untuk terlibat dalam ekosistem latihan kemahiran, sekali gus merapatkan jurang antara dunia latihan dan keperluan sebenar pasaran kerja.
Pembiayaan Latihan Lebih Telus & Meluas
Dari sudut pembiayaan pula, skop sokongan oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kini diperluaskan untuk meliputi lebih banyak program latihan yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Bukan itu saja, aspek tadbir urus turut diberi penekanan daripada proses kelulusan hinggalah kepada kawal selia pembiayaan yang lebih telus dan tersusun. Ini penting bagi memastikan setiap dana benar-benar memberi manfaat kepada peserta latihan.


